Cari:
Bandar Chongqing: Wadah kepada Syarikat ASEAN untuk Tembusi Pasaran di Bahagian Barat China
2011-01-10 16:16:26 CRI Cetak

Chongqing merupakan bandar yang paling besar di bahagian barat China dan juga mempunyai pelabuhan sungai yang terbesar di seluruh negara ini. Kini, bandar ini telah menjadi pintu yang amat penting kepada syarikat-syarikat dari negara-negara Asia Tenggara untuk menembusi pasaran di bahagian barat China. Jumlah syarikat dari negara Asia Tenggara yang melabur dan menjalankan urusan mereka di sana semakin bertambah berikutan meningkatnya hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Xue Jiaxin yang belajar di Tadika Child First sudah pandai menyanyi lagu dalam bahasa Inggeris, walaupun hanya berumur 3 tahun. Dengan perkembangan selama 3 tahun, Tadika Child First yang ditubuhkan oleh sebuah syarikat pendidikan singapura di Chongqing ini telah menjadi sebuah jenama yang terkenal dalam sektor pendidikan tempatan. Hingga sekarang, sebanyak 5 buah Tadika Child First telah ditubuhkan di bandar Chongqing. Syarikat Singapura itu kini merancang penubuhan tadikanya di bandar-bandar lain yang berhampiran dengan Chongqing.

Ketua Eksekutif Syarikat Pendidikan Child First, Chen Weiquan bekata, sebenarnya pemilihan syarikatnya untuk membuka tadika pertama mereka di Chongqing adalah kebetulan sahaja. Mereka juga tidak menyangka bahawa konsep pendidikan Singapura boleh mendapat sambutan yang begitu baik di bandar ini. Kata beliau: "Sebenarnya kami hanya bertujuan memperkenalkan konsep pendidikan sendiri di tadika kami. Tidaklah disangka ia boleh mendapat sambutan yang begitu baik, sehingga tadika kami menjadi penuh sebaik sahaja dibuka. Pembukaan beberapa buah lagi tadika kami membuktikan perkembangan kami yang amat menggalakkan di sini."

Chen Weiquan bekata: "Pembangunan Chongqing yang pesat menawarkan potensi pasaran yang sungguh besar kepada sektor pendidikan kanak-kanak. Bandar ini boleh menjadi pangkalan yang baik untuk menembusi pasaran di beberapa buah bandar yang lain di bahagian barat China, seperti bandar Chengdu dan Xi'an."

Kini, ekonomi di bahagian barat China semakin dinamik berikutan pelaksanaan Dasar Pembangunan secara Besar-Besaran di Bahagian Barat China yang dipercepat oleh kerajaan pusat. Chongqing yang merupakan sebuah bandar besar di bahagian barat mempunyai kelebihan sendiri dari segi geografi dan perhubungan. Ini termasuk laluan perkapalan di Sungai Yangtze, jaringan landasan kereta api yang menghubungkanya dengan bandar Kunming di barat daya China, malah beberapa buah negara ASEAN di kawasan aliran Sungai Mekong, serta penerbangan langsung ke Kemboja, Thailand dan Singapura .

Naib Ketua Pengarah Suruhanjaya Perdagangan Luar dan Ekonomi Chongqing, He Wei berkata: "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN memberikan peluang kepada Chongqing untuk meneroka kerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam bidang ekonomi, kebudayaan dan perdagangan dan pelancongan. Chongqing dikatakan mempunyai kelebihan dalam tiga aspek, pertama, kedudukannya berhampiran dengan negara ASEAN, penerbangan dari Chongqing ke beberapa buah negara ASEAN hanya mengambil masa 2 jam sahaja; kedua, perkembangan industri antara Chongqing dengan negara ASEAN saling melengkapi, dan ketiga, bandar ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan negara ASEAN dari segi sosiobudayanya. Demi mengambil peluang daripada kewujudan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, Chongqing terus menggalakkan syarikat tempatan untuk mengambil bahagian dalam ekspo dan pameran yang besar-besar yang diadakan di rantau ASEAN, serta membantu menawarkan wadah kepada peniaga kedua-dua pihak untuk berhubung dan bekerjasama.

Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lalu, jumlah import Chongqing dari negara ASEAN mencecah 363.86 juta dolar Amerika, meningkat 64% berbanding dengan masa yang sama tahun 2009. Daripadanya jumlah import dari Indonesia meningkat 645.8% berbanding dengan masa yang sama tahun 2009.

Syarikat Peptune Orient Lines Singapura, iaitu syarikat pengangkutan laut yang paling besar di rantau ASEAN, telah membuka syarikatnya di Chongqing pada tahun 2010. Lian Lei, pegawai syarikat itu berkata, sokongan yang diberikan oleh kerajaan kedua-dua negara telah menambah keyakinan mereka untuk menjayakan urusan di Chongqing. Kata beliau: "Pegawai kerajaan Chongqing telah memberikan banyak sokongan kepada kami untuk membuat tinjauan di Chongqing. Di samping itu kerajaan tempatan juga menawarkan beberapa dasar keutamaan kepada kami. Hal ini telah menambahkan keyakinan kami. Pada masa yang sama, kos pengurusan di Chongqing lebih rendah daripada beberapa buah bandar yang lain. Kerajaan Singapura juga melihat prospek pembangunan di bahagian barat China pada masa depan baik, dan bersedia membantu syarikatnya untuk berurus niaga di Chongqing. Upacara merasmikan syarikat kami di sini telah disaksikan oleh Perdana Menteri Singapura yang sedang mengadakan lawatan di Chongqing seketika itu.

Naib Ketua Pengarah Suruhanjaya Perdagangan Luar dan Ekonomi Chongqing, He Wei juga melihat prospek kerjasama antara Chongqing dengan negara ASEAN amat baik. Kata beliau: "Kami juga melihat potensi di pasaran negara-negara ASEAN begitu baik, dan akan terus mempergiat kerjasama dengan ASEAN dalam bidang ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan pelancongan."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China