Bernama Malaysia melaporkan, China berpendapat konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah konsep yang baik kerana ia diberi penekanan oleh kerajaan.
Dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Naib Menteri Suruhanjaya Ehwal Etnik Negara China, Wu Shimin di Putrajaya pada 14 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, China juga mengamalkan konsep yang sama dalam hubungan etniknya.
Beliau berkata, pertemuan ini amat bermakna kerana kedua-dua delegasi dapat bertukar-tukar pandangan dan pengalaman termasuk idea mengukuhkan hubungan antara etnik.
Pada sidang akhbar yang sama, Wu Shimin berkata beliau percaya negara yang mempunyai kumpulan etnik yang pelbagai adalah bertuah kerana ia berjaya menyisihkan perbezaan itu. Beliau percaya untuk menyelesaikan konflik etnik yang berlainan atau hubungan agama yang pelbagai, seseorng itu harus bersikap proaktif berdasarkan harmoni dan pembangunan ekonomi.