Tahun ini ialah ulang tahun ke-20 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN, dan juga "tahun persahabatan dan interaksi China-ASEAN" yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak. Dalam Sidang Menteri Luar China-ASEAN yang diadakan di Kunming, Provinsi Yunnan China pada 25 Januari lalu, menteri-menteri luar dari China dan 10 buah negara anggota ASEAN menyarankan supaya merancakkan pengangkutan dan komunikasi antara kedua-dua pihak, dan meningkatkan kerjasama saling menguntungkan.
Ketika berucap dalam sidang itu, Menteri Luar China, Yang Jiechi berkata penganjuran Sidang Menteri Luar China-ASEAN pada awal dekad kedua Abad ke-21 ini mempunyai erti yang amat istimewa. Kata beliau: "Sidang kali ini diadakan dengan meriah kerana ia merupakan titik permulaan bagi Tahun Persahabatan dan Interaksi China-ASEAN dan juga peringatan bagi sambutan ulang tahun ke-20 terjalinnya hubungan dialog antara kedua-dua pihak. Usaha mengembangkan hubungan rakan strategik China-ASEAN merupakan fokus perbincangan dalam sidang ini."
Yang Jiechi memberikan penghargaan yang tinggi kepada kemajuan hubungan China-ASEAN dalam tempoh 20 tahun lalu. Menurut beliau, perkembangan hubungan dialog China-ASEAN dalam tempoh 20 tahun lalu telah mendorong kerjasama pragmatik dari semasa ke semasa. Ia bukan sahaja memberi sumbangan postif kepada kedamaian dan kestabilan serantau, malah membawa keuntungan kepada rakyat kedua-dua pihak.
Yang Jiechi juga menegaskan betapa pentingnya penyempurnaan jaringan pengangkutan dan komunikasi bagi menerajui kerjasama China-ASEAN. Kata beliau: "Para peserta dalam sidang kali ini mencapai kata sepakat untuk menyempurnakan jaringan pengangkutan darat, laluan penerbangan dan perkapalan serta infrstruktur telekomunikasi di rantau ini, agar kelebihan geografi dapat diutamakan sepenuhnya untuk menerajui kerjasama saling menguntungkan. Jaringan pengangkutan dan telekomunikasi bukan sahaja perlu diwujudkan antara negara-negara yang bersempadan, tetapi juga perlu ditingkatkan antara negara-negara yang dipisahkan dengan laut seperti Brunei, Filipina dan Indonesia."
Selain itu, para peserta yang menyertai Sidang Menteri Luar China-ASEAN kali ini juga mencapai kata sepakat tentang peningkatan interaksi kalangan rakyat antara kedua-dua pihak. Yang Jiechi berkata: "Interaksi kalangan rakyat juga perlu ditingkatkan antara China dengan ASEAN, khususnya di kalangan belia. Kami menyasarkan jumlah penghantaran pelajar dua hala mencatat 100 ribu orang, serta lawatan penduduk yang mencecah 15 juta orang antara satu sama lain."
Sebelum sidang itu diadakan, menteri-menteri luar dari negara-negara ASEAN telah bersama-sama mengadakan tinjauan ke jalan raya Mohan-Jinghong yang merupakan sebahagian daripada jalan raya Kunming-Bangkok yang terletak di wilayah China. Jalan raya Kunming-Bangkok yang sepanjang 1,750 kilometer itu dijangka beroperasi secara menyeruruh pada tahun 2012. Tinjauan kali ini mencipta satu rekod baru iaitu menteri-menteri luar dari 10 buah negara ASEAN bersama-sama mengikuti perjalanan sepanjang 300 kilometer dengan menaiki kenderaan dengan menaiki kenderaan di jalan raya tersebut.
Selain itu, pembinaan landasan kereta api laju Kunming-Bangkok yang sedang dirancangkan merupakan sebuah lagi projek infrastruktur lalu lintas yang berskala besar di rantau ini. Menurut Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya bahawa pembianan landasan kereta api itu akan membawa keuntungan kepada China dan semua negara ASEAN. Kata beliau: "Landasan kereta api laju ini bukan sahaja berfaedah kepada industri pelancongan serantau, tetapi juga akan merancakkan lagi aktiviti perniagaan antara kedua-dua pihak. Ia bukan membawa faedah kepada Thailand sahaja, malah negara-negara ASEAN yang lain seperti Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Laos juga akan memperoleh keuntungan daripadanya."