Ketua Bahagian Perdagangan Sempadan dan ASEAN Jabatan Perdagangan Hainan, Encik Ji Guohui diwawancara oleh wartawan CRI.
Provinsi Hainan, China mencapai hasil yang amat ketara dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara ASEAN, khususnya selepas ditubuhkannya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) pada awal tahun 2010. Sehubungan dengan itu, Bahagian Perdagangan Sempadan dan ASEAN telah ditubuhkan oleh Jabatan Perdagangan Hainan pada Ogos 2009, bagi menggalakkan aktiviti perdagangan antara kedu-dua pihak. Ketua bahagian itu, Encik Ji Guohui berkata: "Hainan yang terletak di timur Vietnam, Thailand, Laos dan Kemboja, dan merupakan salah satu provinsi China yang paling dekat dengan negara ASEAN. Oleh itu, Hainai dianggap mempunyai kelebihan dari segi geografinya. Selain itu, kerjasama antara Hainan dengan negara ASEAN juga mudah dilakukan kerana suasana ekonomi dan industri serta produk kedua-dua pihak adalah lebih kurang sama."
Seiring dengan aktiviti perdagangan sempadan yang semakin dinamik, jumlah perdagangan antara Hainan dengan ASEAN telah mencecah 1.2 bilion dolar Amerika dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2010, meningkat 33% berbanding masa yang sama tahun 2009. Hainan juga menikmati dasar keutamaan peringkat kebangsaan dalam perdagangan sempadannya dengan Vietnam. Ji Guohui berkata: "Pengangkutan laut antara Hainan dengan Vietnam tidak pernah terputus sekian lama ini. Jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak mencatat 117 juta dolar Amerika dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2010, meningkat 45 berbanding masa yang sama tahun sebelumnya. Walaupun jumlahnya bukan begitu besar setakat ini, namun peningkatan yang pesat boleh membuktikan potensinya amat besar."
Demi menyesuaikan diri dengan situasi baru berikutan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, kini, semakin banyak laluan penerbangan dan pengangkutan laut yang menghubungkan Hainan dengan negara ASEAN telah diwujudkan. Langkah ini amat memudahkan perjalanan manusia dan pengedaran produk antara kedua-dua pihak. Sekarang, penerbangan penumpang telah diwujudkan antara Hainan dengan Kuala Lumpur, Singapura, Hanoi dan Bangkok. Di samping itu, penerbangan kargo juga telah diwujudkan antara Haikou dengan Kuala Lumpur dan Bangkok.
Zon Pembangunan Yangpu yang ditubuhkan di pulau Hainan juga memainkan peranan yang penting dalam kerjasama dengan ASEAN. Pegawai daripada Jabatan Pengkajian Dasar Zon Pembangunan Yangpu, Fu Ying berkata, Yangpu dikatakan rakan kerjasama yang penting kepada sektor pengangkutan laut di pelbagai negara ASEAN. Kata beliau:
"Yangpu merupakan salah sebuah zon bebas tarif di China, dan menikmati dasar keutamaan dalam pengembalian tarif. Berdasarkan sumber pelabuhan yang unggul serta kelebihan geografi yang istimewa, Yangpu boleh menjadi sebuah pelabuhan transit yang penting di rantau ini."
Encik Ji Guohui berkata: "Kawasan perdagangan bebas menyediakan wadah untuk saling berinteraksi dan mencari peluang perniagaan. Di samping itu, kami juga akan berusaha menyempurnkan pelbagai kemudaan infrastruktur bagi merancakkan aktiviti perdagangan dan logistik antara kedua-dua pihak. Ini termasuk penubuhan pusat perdagangan sempadan di bandar Dongfang dan pembukaan pelabuan Basuo di Hainan terhadap pengimportan buah-buahan negara ASEAN."
Walaupun pengimportan buah-buahan dan hasil pertanian dari ASEAN dijangka memberikan impak kepada sektor pertanian di Hainan, namun menurut Ji Guihui, perkara ini juga membantu meningkatkan taraf industri tempatan. Kata beliau: "Demi menghadapi cabaran ini, kami akan berusaha meningkatkan prestasi dan kualiti hasil pertanian sendiri. Di samping itu, syarikat tempatan yang mempunyai kelebihan dari segi teknologi boleh menubuhkan kilang mereka di rantau ASEAN. Langkah ini membantu mereka mengambil peluang daripada kawasan perdagangan bebas."
Menurut Ji Guohui, syarikat pengeluaran pertanian Hainan telah menubuhkan kilang mereka di beberapa buah negara ASEAN, seperti Laos, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Kemboja. Pengurusan mereka di seberang laut bukan sahaja membantu menyediakan peluang kerja, tetapi juga memperkenalkan teknologi kepada negara-negara tersebut.