Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia dan China bersetuju untuk memperincikan strategi serta pendekatan yang relevan bagi menangani isu keselamatan serta ketenteraman membabitkan kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengadakan rundingan dengan Menteri Keselamatan Awam China, Meng Jianzhu dan 35 orang anggota delegasi dari negara itu yang berlangsung di Kuala Lumpur 19 Februari lalu.
Dalam sidang akhbar selepas rundingan itu, Hishammudin berkata, kedua-dua negara turut mencapai persetujuan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung kait keselamatan.
Katanya, MoU itu dimeterai semasa kunjungan balas beliau ke atas Jianzhu di Beijing yang dijangka dilakukan dalam waktu terdekat.
Kandungan penting dalam MoU tersebut termasuk isu jenayah merentasi sempadan dan mewujudkan akademi rentas sempadan di Langkawi yang mendapat sokongan China, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan visa pelancong dan lawatan bagi tujuan pelacuran, penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram membabitkan warga China.