Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan menganjurkan Festival Kenyir. Pesta dijadualkan berlangsung selama 5 hari bermula 8 April ini.
Festival Kenyir itu diadakan sempena ulang tahun ke-38 KETENGAH. Pelbagai acara menarik telah diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia itu. Pesta itu juga diadakan sebagai langkah awal untuk mempersiapkan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai tahun depan.
Menurut Pengurus Besar KETENGAH Encik Hamzah Ngah, antara acara menarik yang akan diadakan sepanjang festival itu termasuk pertandingan perahu naga, pertandingan Muay Thai, kejohanan jet ski, International Kenyir Lake Triathlon, pertandingan bot kawalan jauh, pertandingan motosikal dan kereta klasik, dan pertandingan ayam serama. Sebanyak 70 gerai pameran juga disediakan kepada pengunjung yang akan disertai oleh usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana, agensi kerajaan serta swasta. Pihak penganjur mensasarkan kira-kira 20 ribu orang bakal berkunjung ke festival itu.








