Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi yang terletak di bahagian barat daya China merupakan satu-satunya wilayah China yang dihubungkan dengan laluan darat dan laut dengan negara-negara ASEAN. Ketika ditemu bual oleh wartawan baru-baru ini, Pengerusi Wilayah Atuonomi Guangxi, Ma Biao berkata, pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan geografi ini untuk terus mendorong kerjasama dan proses pintu terbuka dengan negara-negara ASEAN.
Menurut Ma Biao pembangunan Zon Ekonomi Teluk Beibu yang mula dilaksanakan di Guangxi pada awal tahun 2008 menjadi peneraju penting kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, di samping memacu kerjasama antara Guangxi dengan ASEAN. Pembangunan Zon Ekonomi Teluk Beibu ini melibatkan beberapa projek yang besar termasuk pelabuhan bebas cukai di Qinzhou, zon bebas cukai di kawasan sempadan China-Vietnam serta loji kuasa nuklear Fangchenggang yang pertama di kawasan barat China.
Beliau menambah bahawa kini Guangxi dikatakan tidak asing lagi kepada negara-negara ASEAN, khususnya dengan penganjuran Ekspo China-ASEAN tahunan di ibu kotanya, Nanning sejak 7 tahun yang lalu. Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) yang melibatkan 1.9 bilion penduduk di rantau ini memberikan peluang baru kepada usaha pintu terbuka dan kerjasama luar Guangxi. Tegas beliau, Guangxi akan memanfaatkan kelebihan yang ada untuk terus merancakkan kerjasama di peringkat subkawasan, menyempurnakan kemudahan infrastruktur yang menghubungkan negara-negara ASEAN dan mempercepat penubuhan Zon Kerjasama Ekonomi Merentasi Sempadan China-Vietnam.
Ketika menyebut tentang usaha-usaha yang menjadi tumpuan kerajaan Guangxi demi pembangunan akan datang, Ma Biao berkata bahawa pihaknya akan berusaha merealisasikan pertumbuhan ekonomi berasaskan konsep saintifik, memperbaik perkhidmatan awam, memastikan ekologi terpelihara serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk tempatan.








