Cari:
Kenapa TPP Sekali Lagi Menjadi Tumpuan Perhatian
2011-04-08 14:43:07 CRI Cetak

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Rentas Pasifik(TPP) kini sekali lagi menjadi tumpuan pelbagai negara apabila A.S. mengundang Filipina untuk menyertainya baru-baru ini.

TPP, perjanjian perdagangan bebas yang dibentuk pada tahun 2005 mulanya disertai oleh 4 buah negara sahaja, iaitu Singapura, Brunei, Chile dan New Zealand. TPP dikatakan tidak dapat memainkan peranan dalam kerjasama Asia Timur kerana negara anggotanya tidak mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar dari segi ekonomi, mahupun politik.

Pada tahun 2009, Presiden A.S., Barack Obama dalam Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC menyatakan kesediaan pihaknya untuk menganggotai TPP. Beberapa buah negara termasuk Malaysia dan Vietnam juga menyatakan kesediaan menyertai perjanjian perdagangan bebas tersebut. Setakat ini, 5 buah negara telah mengeluarkan cadangan untuk memeterai perjanjian TPP. A.S. juga mengundang Jepun menganggotai TPP dan berharap jumlah negara anggotanya boleh mencapai 10 buah menjelang sidang kemuncak APEC pada akhir tahun ini.

Pakar isu ASEAN dari Akademi Hubungan Antarabangsa Moden China, Luo Yongkun berpendapat bahawa tindakan A.S. itu bertujuan untuk membentuk order Asia-Pasifik berasaskan arahannya. Perkara ini dapat dilihat dalam ucapan Setiausaha Negara A.S., Hillary Clinton berhubung dasar luarnya di rantau Asia-Pasifik pada akhir tahun lepas yang berulang kali menekankan bahawa "peranan pimpinan" perlu dimainkan oleh A.S. di rantau tersebut.

Tindakan A.S. ini dijangka memberikan cabaran kepada proses kerjasama Asia Timur yang dipimpin oleh ASEAN, terutamanya kerjasama antara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea(10+3).

Selain Malaysia, Vietnam, Singapura dan Brunei, 6 buah negara anggota ASEAN yang lain masih belum mengemukakan pendirian mereka terhadap TPP. Indonesia yang merupakan negara terbesar di rantau ASEAN amat berhati-hati dengan perjanjian perdagangan bebas tersebut. Selepas mengadakan rundingan dengan pegawai A.S., Menteri Perdagangan dan Industri Filipina, Gregory L. Domingo pula menyatakan perkara ini masih perlu dibincangkan dengan negara anggota TPP yang lain, dan memerlukan kelulusan dari segi undang-undang.

Menurut Luo Yongkun, negara-negara ASEAN bersikap yang berbeza terhadap isu TPP kerana tahap perkembangan yang berbeza dan bimbang ASEAN akan kehilangan pimpinan dalam kerjasama Asia-Timur.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China