Cari:
Lawatan TPM Malaysia ke China Bakal Memacu Kerjasama Dua Hala
2011-04-18 15:10:45 CRI Cetak

Tradisi pertukaran lawatan antara Malaysia dan China akan sekali lagi disambut dengan lawatan Menteri Luar Malaysia, Datuk Sri Anifah Aman dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke China bulan April tahun ini. Demikian dimaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Saruddin dalam sidang media menjelang kedua-dua lawatan ini.

Menurut beliau, selain pertemuan rasmi dengan pemimpin-pemimpin China, lawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia kali ini juga diselitkan dengan beberapa program lawatan yang memberikan manfaat kepada peningkatan kerjasama dua hala. Beliau berkata: "Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan ke Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing(BFSU) di mana mempunyai sejumlah ribuan mahasiswa antarabangsa, termasuk juga 117 mahasiswa dari Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin. Pada sepanjang lawatan di China ini, Timbalan Perdana Menteri juga akan mengunjungi bandar-bandar lain termasuk Shanghai dan Guangzhou. Lawatan di kedua-dua bandar itu akan memberi tumpuan kepada hubungan perdagangan, ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara, dan bertemu dengan rakyat Malaysia yang mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan di Shanghai."

Dalam sidang media itu, Duta Besar Malaysia di China itu turut menyatakan berpuas hati dengan perkembangan hubungan antara Malaysia-China pada masa ini, khususnya kerjasama dua hala yang semakin erat dan membawa faedah kepada rakyat kedua-dua negara. Datuk Iskandar Saruddin berkata: "Hubungan dua hala antara Malaysia dengan China sekarang berada di peringkat terbaik dengan adanya pertukaran di pelbagai peringkat pada setiap masa. Ini ditambah lagi dengan terdapatnya minat dari segi ekonomi dan perdagangan dua hala yang berada di tahap terbaik selama 4 tahun berturut-turut. Pada tahun 2010, jumlah perdagangan dua hala kedua-dua negara mencapai satu angka yang cukup membanggakan, iaitu 74.192 bilion dolar Amerika. Angka ini menjadikan China sebagai rakan perdagangan dunia yang terbesar bagi Malaysia."

Menurut Datuk Iskandar Saruddin, selain perdagangan dua hala, bidang pelancongan dan pendidikan menampakkan hasil kerjasama yang ketara antara Malaysia dan China pada beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau memaklumkan bahawa jumlah pelancong dari China ke Malaysia dan Malaysia ke China masing-masing mencecah sejuta orang setahun. Selain itu, peningkatan kerjasama dalam bidang pendidikan juga boleh dilihat dengan jumlah pelajar yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan China terus bertambah, iaitu 2,252 pelajar Malaysia yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi di China, dan 10,214 pelajar China yang menuntut di Malaysia.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China