Menteri Luar Indonesia, negara pengerusi bergilir ASEAN bagi tahun ini, Marty Natalegawa dilaporkan menangguhkan lawatannya ke Kemboja dan Thailand yang dijadualkan semalam. Hal ini berikutan kegagalan kedua-dua negara mencapai kata sepakat mengenai penempatan pemantau di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Marty dijadualkan melawat Kemboja sebelum meneruskan lawatannya ke Thailand untuk menandatangani Terma Rujukan Penempatan Kumpulan Pemantau dari Indonesia dengan kedua-dua pihak berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Koy Kuong berpendapat bahawa Marty mungkin menangguhkan lawatannya itu kerana Thailand tidak bersetuju dengan fasal tentang hak pemantau yang terkandung dalam terma rujukan tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tharit Charungvat pula mengatakan bahawa pihaknya bersetuju dengan semua fasal dalam terma rujukan itu, tetapi masih terdapat beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Dalam sidang media di Jakarta semalam, Marty mengatakan bahawa walaupun lawatannya ke Kemboja dan Thailand sudah ditangguhkan, namun masih terdapat kemungkinan untuk mengadakan rundingan dengan kedua-dua negara itu, kerana "perbincangan secara terbuka antara pihak-pihak yang terlibat benar-benar amat penting".
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pula menegaskan bahawa pihak Kemboja dan Thailand mesti menunjukkan pendirian mereka dengan jelas, iaitu "mereka benar-benar mahu menyelesaikan pertikaian yang berkenaan melalui saluran diplomatik, bukannya melalui kekerasan."
Nampaknya, konflik antara tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dicetuskan pada 22 April lalu, adalah untuk memelihara kedaulatan negara masing-masing. Namun, Reuters memetik kenyataan beberapa orang penganalisis sebagai berkata, konflik kali ini mungkin ada kaitan dengan situasi domestik kedua-dua negara itu. Perdana Menteri Thailand sekarang, Abhisit Vejjajiva merancang untuk mengadakan pilihan raya parlimen pada penghujung bulan Jun atau awal bulan Julai nanti. Ketegasan Abhisit dalam isu pertikaian sempadan itu, dikatakan mungkin dapat membantu beliau mendapatkan lebih banyak sokongan pengundi. Sebaliknya, jika Parti Demokratik yang diterajui oleh Abhisit gagal dalam pilihan raya kelak, situasi mungkin akan berubah menjadi lebih berpihak kepada kepentingan negara Kemboja.