Perdana Menteri China, Wen Jiabao berlepas dari Beijing pagi tadi untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia dan Indonesia.
Malaysia merupakan destinasi pertama beliau dalam jadual lawatan ke Asia Tenggara kali ini. Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Malaysia selepas 6 tahun lalu.
China dan Malaysia telah lama mengekalkan hubungan yang erat. Program pertukaran lawatan di peringkat tinggi juga memperlihatkan persahabatan yang terjalin rapat antara kedua-dua negara. Pada tahun 2009, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia ke China.
Pertemuan Wen Jiabao dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Beijing pada tahun 2009
Dalam lawatan itu, Wen Jiabao telah menghadiahi Najib, sekeping gambar hitam putih yang menunjukkan ayahnya, iaitu Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sedang menandatangani pernyataan bagi menandakan permulaan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara bersama-sama bekas Perdana Menteri China, Zhou Enlai pada tahun 1974. Hadiah yang istimewa itu menjalinkan persahabatan antara kedua-dua pemimpin itu.
Setelah dua tahun, kedua-dua pemimpin itu bertemu semula. Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan menganjurkan majlis jamuan bagi meraikan Wen Jiabao di Seri Perdana, sebelum mengadakan rundingan rasmi dengannya.
Dalam tempoh lawatan yang tidak sampai 30 jam di Malaysia, Wen Jiabao akan menghadiri lebih 10 buah aktiviti. Beliau akan mengadakan rundingan dengan Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ini menunjukkan betapa China memandang penting hubungan dengan Malaysia.
Selepas Malaysia, Wen Jiabao akan meneruskan lawatannya ke Indonesia. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke negara tersebut. Sebelum ini, Duta Besar China ke Indonesia, Zhang Qiyue menyatakan bahawa lawatan kali ini pasti dapat menggalakkan perkembangan hubungan strategik antara kedua-dua negara ke arah mewujudkan permusfakatan bestari.
Dalam tempoh lawatannya kali ini, Wen Jiabao akan mengadakan rundingan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, dan bertemu dengan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN. Sebagai kuasa ekonomi terbesar di dalam ASEAN, dan negara pengerusi bergilir ASEAN bagi tahun ini, Indonesia dipercayai mampu memainkan peranan yang lebih positif dan membina dalam usaha mempererat kerjasama antara China dengan ASEAN.