Cari:
Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China-Malaysia Cerah
2011-04-29 14:19:42 CRI Cetak

Melalui usaha yang berterusan oleh China dan Malaysia, kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara ini dalam pelbagai bidang diyakini dapat mencapai kejayaan yang lebih besar.

Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao ketika berucap pada Forum Kerjasama Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan China-Malaysia di Kuala Lumpur semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapannya, Wen Jiabao menyifatkan hubungan kerjasama antara China dengan Malaysia sebagai rakan kongsi dan permuafakatan bestari yang saling menguntungkan. Kata beliau:

"China dan Malaysia sudah menjadi rakan akrab yang saling menyokong dan mempercayai. Seiring dengan kemajuan yang dicapai dalam hubungan dua hala, kepentingan bersama antara kedua-dua negara akan turut meningkat, dan rakyat juga dapat menikmati lebih banyak manfaat."

Beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama antara China dan Malaysia meningkat dengan pesat. Sejak tahun 2008, Malaysia telah menjadi rakan dagang terbesar China di dalam ASEAN selama tiga tahun berturut-turut. China pula menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama dua tahun berturut-turut. Pada tahun 2010, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara ini mencecah 74.2 bilion dolar Amerika, mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.

Hasil lawatan Wen Jiabao kali ini, beberapa dokumen kerjasama, termasuk perjanjian bagi meningkatkan kerjasama lagi dalam bidang ekonomi dan perdagangan, telah ditandatangani antara China dan Malaysia. Wen Jiabao turut menggariskan beberapa cadangan ke arah itu. Kata beliau:

"Kedua-dua pihak patut memanfaatkan sepenuhnya dasar keutamaan yang disediakan oleh Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), untuk meluaskan skop eksport masing-masing. Kedua-dua pihak juga perlu berusaha untuk mengubah suai struktur perdagangan, di samping mempererat kerjasama dalam bidang pelaburan dua hala, kewangan, pendidikan, sains dan teknologi serta pembinaan prasarana."

Ketika mengulas mengenai prospek kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Malaysia, Najib dalam ucapannya menyatakan bahawa pihaknya bersedia memanfaatkan sepenuhnya CAFTA untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang, supaya hasilnya dapat dinikmati oleh rakyat kedua-dua negara.

Wen Jiabao dalam ucapannya juga telah menjelaskan Rancangan Lima Tahun ke-12 yang baru sahaja digariskan oleh kerajaan China. Kata beliau, China akan mengamalkan dasar yang lebih terbuka dalam tempoh pelaksanaan rancangan pembangunan tersebut. Ini pasti akan membuka peluang perniagaan yang lebih besar kepada syarikat di seluruh dunia, termasuk syarikat Malaysia. Kata beliau:

"Pembangunan China bukanlah suatu ancaman. Sebaliknya, ia akan menawarkan peluang, bukan sahaja kepada jirannya, malah kepada seluruh dunia. Saya yakin, melalui usaha yang berterusan, hubungan antara China dan Malaysia pasti mempunyai prospek yang lebih cerah."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China