"Tanah Besar China akan menjadi wadah terbaik kepada peniaga Taiwan untuk memajukan perniagaan di rantau Asia Tenggara dan merebut peluang daripada Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA)", demikian pandangan Zhou Shijin, seorang peniaga Taiwan yang mula membuat pelaburan di Nanning, Guangxi pada awal tahun 1990-an.
Zhou Shijin yang juga Presiden Persatuan Usahawan Taiwan di Nanning berkata, "Saya melabur di Guangxi memandangkan ia berdekatan dengan negara-negara ASEAN. Walaupun Guangxi ketinggalan dari segi kemudahan infrastruktur pada masa dahulu, namun tempat ini akan menjadi pintu terbaik untuk meneroka pasaran di rantau Asia Tenggara."
Kini, semakin ramai peniaga Taiwan berminat untuk menjalankan perniagaan di Guangxi, khususnya selepas CAFTA ditubuhkan pada awal tahun lalu.
Huang Weitong, peniaga Taiwan yang menceburkan diri dalam sektor kecantikan sebelum itu kini beralih kepada pengurusan pengedaran barangan di pintu keluar masuk Shuikou, Guangxi di sempadan China-Vietnam. Pelaburannya di Guangxi mencecah 250 juta Yuan RMB. Menurut beliau, penubuhan Pusat Pengedaran Barangan terus membantu penerokaan pasaran, kini 95% pelanggannya ialah mereka yang datang sendiri."
Menurut statisik Jabatan Perdagangan Guangxi, Taiwan antara pelabur utama di Guangxi. Pada tahun 2010, projek pelaburan para peniaga Taiwan di Guangxi mencatat 57 buah, melibatkan pelaburan sebanyak 541 juta dolar Amerika.
Tan Xiuhong, pegawai Jabatan Perdagangan Guangxi berkata: "Semakin banyak ahli korporat Taiwan melabur di Guangxi dan menubuhkan ibu pejabatnya untuk meneroka pasaran di negara ASEAN."
Menurut beliau, Guangxi mempunyai kelebihan dari segi pasaran, sumber bahan mentah dan tenaga manusia, manakala syarikat Taiwan mempunyai kelebihan dalam bidang teknologi dan pengurusan. Justeru, kerjasama antara kedua-dua pihak boleh diadakan berdasarkan kelebihan masing-masing, sehingga membentuk rangkaian industri yang lebih efisien dan berdaya saing dalam sektor teknologi maklumat, petrokimia dan automobil.
Ekspo China-ASEAN yang diadakan di Nanning, ibu kota Guangxi pada setiap tahun turut disertai oleh delegasi peniaga Taiwan pada tahun 2010. Penglibatan usahawan Taiwan dalam ekspo pada tahun ini dijangka lebih aktif dengan adanya ruang pameran khusus untuk barangan buatan Taiwan.