Hubungan persahabatan dan interaksi antara kalangan rakyat China-Myanmar akan diperkukuhkan dengan penubuhan semula Persatuan Persahabatan China-Myanmar baru-baru ini. Encik Feng Zuoku, Presiden Persatuan Persahabatan China-Myanmar semasa ditemu bual oleh wartawan CRI berkata, hubungan persahabatan rakyat tetap merupakan antara elemen penting dalam hubungan diplomatik China-Myanmar, dan menjadi asas kepada perkembangan hubungan dua hala.
Persatuan Persahabatan China-Myanmar kini merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti di Myanmar termasuk pameran foto, kuiz pengetahuan, persembahan kesenian dan forum pelaburan. Menurut Ketua Suruhanjaya Interaksi Persatuan Persahabatan China-Myanmar, Gao Zhong, aktiviti-aktiviti interaksi seperti ini membantu meningkatkan persefahaman di samping memupuk semangat saling membantu dalam kalangan rakyat, juga antara kerajaan kedua-dua negara.
Selain itu, kerjasama ekonomi merupakan satu lagi usaha penting Persatuan Persahabatan China-Myanmar pada masa depan. Setiausaha Agungnya, Chen Dongping menegaskan bahawa usaha ini menumpukan kepada perkongsian kejayaan mengadakan pembaharuan di kawasan luar bandar dan pembangunan zon ekonomi khas kepada Myanmar. Beliau menambah bahawa pihaknya menyarankan penubuhan sebuah kota baharu di kawasan sempadan China-Myanmar berdasarkan model Shenzhen, iaitu zon ekonomi khas yang terkenal di China. Beliau berkata: "China boleh berkongsi pengalaman dalam bidang perindustrian dengan Myanmar dalam usaha mengembangkan pertanian negara itu. Usaha ini membantu meneroka ruang kerjasama ekonomi dan memberikan faedah kepada rakyat kedua-dua negara. "








