Projek "Perjalanan Cahaya" diadakan oleh Tabung Kedamaian dan Pembangunan China di Myanmar baru-baru ini untuk membantu merawat pesakit mata di negara itu. Projek itu turut mendapat kerjasama daripada Parti Perpaduan dan Pembangunan, iaitu parti yang memerintah di Myanmar.
Pasukan perubatan yang terlibat dalam projek tersebut terdiri daripada lima orang doktor veteran dari Hospital Renmin I Provinsi Yunnan, China. Mereka memberikan rawatan, termasuk pembedahan untuk pesakit katarak di Myanmar secara percuma. Dalam sidang akhbar yang diadakan oleh pihak Kedutaan Besar China di Myanmar pada 8 Jun lalu, Naib Setiausaha Agung Tabung Kedamaian dan Pembangunan China, Bai Wei berkata, semasa berlangsungnya aktiviti "Perjalanan Cahaya" kali ini, pasukan perubatan China telah memberikan rawatan kepada 373 pesakit katarak. 248 orang daripadanya, yang menjalani pembedahan mata telah sembuh.
Ketua pasukan perubatan China, Mei Yan yang juga Naib Presiden Hospital Remmin I Provinsi Yunnan berkata: "Kami merawat setiap pesakit dengan bersungguh-sungguh. Saya berasa aktiviti amal ini amat besar ertinya apabila melihat senyuman pada wajah pesakit yang pulih daya penglihatan mereka.
Seorang wanita warga emas yang menerima rawatan memberitahu wartawan, "Saya menghidap katarak sejak beberapa tahun lalu. Sekarang, saya boleh melihat dengan jelas selepas menjalani pembedahan."
Anggota Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Li Yuanchao yang mengadakan lawatan di Myanmar juga memberikan penghargaan yang tinggi kepada aktiviti "Perjalanan Cahaya" tersebut. Menurut beliau, aktiviti ini membantu impian pesakit katarak untuk pulih penglihatan menjadi kenyataan, di samping memperkukuh hubungan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara. Beliau berharap supaya ahli perubatan kedua-dua negara terus bekerjasama untuk memberikan rawatan yang berkualiti kepada pesakit katarak di Myanmar.