Cari:
Syarikat Negara ASEAN Dialu-alukan Menyertai Ekspo China-ASEAN
2011-06-29 13:25:12 CRI Cetak

Ekspo China-ASEAN Ke-8 akan diadakan di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China pada 21 hingga 26 Oktober. Penganjuran ekspo kali ini dijangka lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana sempena ekspo ini diadakan besama dengan ulang tahun ke-20 jalinan hubungan dialog China-ASEAN dan juga Tahun Persahabatan China-ASEAN. Ekspo ini akan memberi fokus kepada tema utamanya, iaitu "Kerjasama Perlindungan Alam Sekitar."

Pelbagai pendekatan akan dilaksanakan oleh pihak penganjur bagi membolehkan ekspo ini memainkan peranan yang lebih besar ke arah peningkatan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN. Ini termasuklah menyediakan lebih banyak gerai pameran kepada syarikat kedua-dua pihak. Menurut pihak penganjur, selain Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Nanning, Dewan Pameran Guangxi dan Pusat Pameran Huanan City juga akan dijadikan lokasi pameran industri pertanian dan industri ringan.

Syarikat negara-negara ASEAN yang terlibat dalam ekspo ini boleh mengambil kesempatan untuk mempromosikan produk dan barangan istimewa kepada para pengunjung, malah pelanggan di seluruh China. Barangan buatan negara Asia Tenggara yang sering menjadi tarikan kepada para pengunjung termasuklah makanan, perabot, barangan kraf, barang kemas dan barang kegunaan harian. Negara-negara ASEAN juga disarankan supaya mendirikan ruang pameran barangan jenama terkenal sendiri dalam ekspo tersebut.

Penerbangan sewa khas antara Nanning dengan beberapa bandar besar di rantau Asia Tenggara akan diadakan semasa Ekspo China-ASEAN bagi memudahkan tokoh-tokoh perniagaan ASEAN mengunjungi ekspo tersebut. Pada hakikatnya, penerbangan dua hala dari Nanning ke Malaysia, Singapura, Penom Penh, Vientiane, Yangon dan Bangkok telah sedia ada sepanjang tahun.

Pihak penganjur juga mengesahkan bahawa enam buah negara ASEAN akan mempunyai ruang pameran sendiri dalam Ekspo China-ASEAN pada tahun ini, iaitu Malaysia, Indonesia, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam. Sebanyak 1,309 buah gerai pameran diperuntukkan kepada syarikat-syarikat ASEAN, lebih banyak berbanding tahun lepas.

Pelbagai aktiviti dan forum juga akan diadakan di Nanning dalam tempoh ekspo, seperti Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN, Forum Kerjasama Perlindungan Alam Sekitar serta forum-forum lain yang memberi fokus kepada kerjasama kewangan, kualiti produk dan keselamatan ubat-ubatan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China