Beberapa tahun ini, hubungan antara China dengan ASEAN semakin rapat seiring dengan pembangunan ekonomi China. Terdapat semakin ramai pelajar ASEAN memilih belajar di China. Menurut statistik Kementerian Pendidikan China pada tahun 2009, pelajar Vietnam menduduki tempat ketiga, Thailand keempat dan Indonesia kelapan dalam senarai jumlah pelajar asing di China. Di samping itu, jumlah pelajar Singapura meningkat dari 583 orang pada tahun 2002 kepada 3,198 orang pada tahun 2009.
China berjaya menarik semakin ramai pelajar asing kerana yuran persekolahannya rendah, ekonominya membangun dengan cepat dan peluang pekerjaannya banyak. Menurut laporan Lian He Zao Bao, pelajar Singapura selalu memilih belajar setahun di China. Mereka datang ke China bukan sahaja untuk belajar bahasa Mandarin, tetapi juga mengikuti kurikulum undang-undang, komunikasi, perubatan, pengendalian perdagangan dan industri serta politik antarabangsa.
Pelajar Thailand suka akan kurikulum perubatan klinik. Selepas belajar di China, mereka cenderung memilih bertugas di syarikat China atau menjadi doktor perubatan tradisional Cina di Thailand.
Setakat ini, China sudah menandatangani perjanjian interaksi pendidikan dengan Malaysia, Singapura, Myanmar, Vietnam, Filipina, Laos dan Kemboja serta menandatangani perjanjian saling memperaku ijazah dengan Malaysia dan Thailand.
Walaupun universiti China berusaha untuk menarik pelajar asing, pendidikan pelajar asing masih dilihat agak lemah di negara ini kerana kekurangan interaksi dengan universiti asing. Selain itu, mereka perlu menyediakan kurikulum khas untuk memenuhi keperluan pelajar asing khususnya pelajar dari negara-negara ASEAN.