Laluan pembangunan yang tepat dan dasar luar damai yang diamalkan oleh kerajaan China memberikan jaminan kukuh kepada kejayaan cemerlang pembangunan negara. Demikian pandangan mantan Duta Besar Laos ke China, Vichit Xindavong dalam temu bual bersama-sama wartawan Agensi Berita Xinhua di Vientiane baru-baru ini.
Vichit Xindavong menyandang jawatan Duta Besar ke China sejak tahun 2004 hingga 2010. Beliau telah menyaksikan banyak perubahan yang berlaku di China, baik dari segi ekonomi, mahupun perkembangan masyarakatnya.
Vichit Xindavong berkata: "Saya buat pertama kali dihantar belajar di China pada akhir tahun 1970-an. Saya boleh dikatakan menyaksikan dengan mata kepala sendiri segala-galanya tentang perkembangan sosioekonmi yang amat mengagumkan di sini."
Menurut mantan Duta Besar itu, terdapat tiga faktor utama yang memastikan matlamat pembangunan China tercapai. Ini termasuk: pertama, kaedah pembangunan yang selaras dengan keadaan China sendiri di samping memelihara kepentingan rakyat; kedua, pucuk pimpinan China yang teguh, stabil dan berani; ketiga, sokongan kukuh yang diberikan oleh seluruh rakyat kepada dasar dan usaha kerajaan.
Vichit Xindavong juga mengatakan, dasar luar China yang mengutamakan prinsip damai dan bersahabat mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan masyarakat antarabangsa, dan membantu memelihara hubungan yang akrab antara China dengan negara-negara jiran. Justeru itu, China telah menunjukkan prestasi yang semakin tinggi di arena antarabangsa.
Vichit Xindavong juga memberikan penghargaan yang tinggi kepada hubungan Laos-China. Kata beliau, peningkatan hubungan dua hala ini bukan sahaja dapat dilihat daripada lawatan pucuk pimpinan yang kerap dilakukan, tetapi juga kerjasama ekonomi dan perdagangan yang semakin erat. Mengimbas kembali perkembangan hubungan perdagangan Laos-China, Vichit Xindavong berkata, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara hanya mencatat USD 30 juta pada tahun 1990-an, dalam angka ini telah mencecah satu bilion Dolar Amerika pada tahun 2010.
Ketika menyebut tentang prospek hubungan Laos-China, Vichit Xindavong berkata, masih terdapat potensi dalam kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara berdasarkan prinsip saling melengkapi. Dalam konteks ini, China mempunyai kelebihan dari segi kewangan, teknologi dan konsep pengurusan, manakala Laos pula mempunyai kelebihan dari segi sumber alam. Beliau yakin bahawa peningkatan kerjasama ini akan memberi manfaat yang lebih banyak kepada rakyat kedua-dua negara.