
China sentiasa menjaga keselamatan pelayaran di Laut China Selatan dan menyambut baik prospek bekerjasama dengan negara-negara ASEAN. Demikian dinyatakan oleh Menteri Luar China, Yang Jiechi selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum ASEAN Ke-18 yang berakhir di Pulau Bali, Indonesia baru-baru ini.
Beliau menyatakan, garis panduan bagi melaksanakan "Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkaitan dengan Laut China Selatan" yang dicapai oleh China dan ASEAN antara satu pencapaian yang cukup menggalakkan dalam mesyuarat kali ini. Beliau turut memberikan penghargaan yang tinggi kepada deklarasi itu dalam usaha memelihara kestabilan dan pembangunan serantau dan mendorong penyelesaian pertikaian terhadap pulau-pulau yang berkenaan.
Tegas beliau, deklarasi itu menyarankan supaya pertikaian berhubung isu Laut China Selatan diselesaikan melalui rundingan antara negara-negara serantau yang terbabit. Kerjasama pragmatik antara usaha mendesak dalam pelaksanaan deklarasi tersebut. Dalam konteks ini, China telah memberikan pelbagai cadangan termasuk memperluas kerjasama dalam penyelidikan sains dan perlindungan alam sekitar di perairan Laut China Selatan. Di samping itu, China juga akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh negara-negara ASEAN dalam perkara ini.

Yang Jiechi juga menyatakan kesediaan pihak China untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam penggubalan "Pengaturan Tatalaku Pihak-Pihak yang Berkaitan dengan Laut China Selatan" pada masa yang sesuai.
Yang Jiechi turut memberi jaminan kepada keselamatan pelayaran di Laut China Selatan. Menurut beliau, keselamatan di perairan tersebut amat penting kepada pertumbuhan ekonomi Asia. Hal ini antara prasyarat yang menjadikan Asia sebagai rantau ekonomi paling pesat di dunia dan menyumbang 50% kadar pertumbuhan ekonomi global. Tambah beliau, pertikaian dua hala tidak akan menjejaskan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.








