Cari:
Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China-ASEAN Capai Kemajuan Ketara
2011-07-27 12:53:09 CRI Cetak

Jabatan Penerangan Dewan Negara China mengadakan sidang akhbar semalam untuk mengumumkan pencapaian ekonomi dan perdagangan sejak hubungan dialog China-ASEAN dijalin pada 20 tahun yang lalu serta Ekspo China-ASEAN ke-8 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN ke-8. Naib Menteri Perdagangan, Gao Hucheng berkata, perdagangan dua hala meningkat pesat. China berkeyakinan penuh dapat mewujudkan perdagangan dua hala bernilai USD$ 500 bilion menjelang tahun 2015.

"Jumlah perdagangan dua hala pada tahun 1991 hanya USD$ 7.96 bilion, dan mencatat USD$ 292.78 bilion pada tahun 2010, iaitu peningkatan 37 kali ganda. Pada pertengahan tahun 2011, angka itu meningkat 25%, dan mencapai USD$ 171.12 bilion. Sekarang, China merupakan rakan dagang terbesar bagi ASEAN, manakala, ASEAN mendahului Jepun dan menjadi rakan dagang ketiga terbesar bagi China."

Menurut Gao Hucheng, pelaburan China-ASEAN juga terus meningkat sejak 20 tahun lalu, dan sebanyak USD$ 80 bilion dilaburkan setakat akhir bulan Jun lalu. CAFTA yang siap dibina pada tahun lalu juga memberikan manfaat kepada syarikat dan rakyat masing-masing.

"Lebih 90% produk bebas tarif sejak CAFTA ditubuhkan. Tarif purata produk China diturunkan kepada 1% daripada 9.8%. Manakala, enam anggota lama ASEAN juga menurunkan tarif mereka kepada 0.6% daripada 12.8%. Hal ini menggalakkan pertumbuhan perdagangan dua hala."

Selain itu, pembinaan CAFTA juga mempererat kerjasama syarikat kedua-dua pihak. Bentuk kerjasama sudah diperluas ke bidang perdagangan perkhidmatan, pelaburan, telekomunikasi, penerokaan Sungai Mekong, pengangkutan, sumber tenaga, budaya dan pelancongan berbanding perdagangan komoditi sahaja.

Gao Hucheng berkata, ASEAN mengekalkan lebihan dagangan dengan China dalam jangka masa yang panjang. Lebihan itu melebihi USD$ 10 bilion pada pertengahan tahun 2011. Menurutnya, China tidak menyasarkan lebihan dagangan, sebaliknya berharap lebih banyak produk ASEAN yang dialu-alukan oleh rakyat dan syarikat China dipasarkan di pasaran domestik.

Gao Hucheng menambah, peranan Ekspo China-ASEAN semakin penting dalam kerjasama tersebut sejak diadakan buat kali pertama pada tahun 2004. Ekspo China-ASEAN ke-8 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN ke-8 akan diadakan di Nanning pada Oktober depan. Kerja-kerja persiapan berkenaan lancar.

"Kami akan mempertingkat kerjasama dengan ASEAN, mengekalkan prinsip yang saling menguntungkan, terus melakukan inovasi dalam pameran, dan menjadikan ekspo itu berkesan, agar menyumbang kepada usaha mendorong pembangungan CAFTA serta memperkaya kerjasama menyeluruh kedua-dua pihak."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China