Jumlah perdagangan antara China dengan negara-negara ASEAN hanya mencatat USD 7.96 bilion pada tahun 1991. Angka ini telah mencecah USD 100 bilion pada tahun 2004, dan mencatat 292.7 bilion pada tahun lepas. Angka ini ternyata memperlihatkan peningkatan perdagangan dua hala yang pesat, khususnya selepas penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) pada awal tahun 2010.
Menurut statistik terkini, jumlah perdagangan China-ASEAN mencatat USD 171.1 bilion pada setengah tahun pertama tahun ini, iaitu meningkat 25.4% berbanding tahun lepas. Pencapaian ini dianggap amat menggalakkan memandangkan ekonomi global masih belum pulih. Aktiviti perdagangan yang tetap aktiviti antara China dan ASEAN bukan sahaja membantu menstabilkan pencapaian perdagangan luar negara-negara anggota ASEAN, tetapi juga memberi manfaat kepada pihak korporat dan rakyat kedua-dua pihak.
Selain itu, aktiviti pelaburan dua hala juga didapati terus meningkat baik dari segi jumlahnya, mahupun bidang-bidang yang terlibat. Pelaburan dua hala mencatat jumlah hampir USD 80 bilion setakat penghujung bulan Jun lalu. Antaranya jumlah pelaburan China di rantau ASEAN mencatat USD 13 bilion. Kini, semakin banyak syarikat China melihat negara ASEAN sebagai destinasi pelaburan yang baik.
Naib Menteri Perdagangan China, Gao Hucheng dalam sidang akhbar baru-baru ini berkata: "Kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN terus rapat berikutan penubuhan CAFTA, sekali gus meningkatkan tahap integrasi ekonomi serantau ke satu tahap yang baharu. Kerjasama ekonomi yang dikatakan hanya tertumpu kepada perdagangan kargo pada masa dahulu, telah berkembang meliputi bidang-bidang yang semakin luas, sehingga perdagangan perkhidmatan, pelaburan, komunikasi maklumat, pembangunan bersama Sungai Mekong Besar, pengangkutan, sumber tenaga dan pelancongan."
Beliau menambah, jumlah perdagangan antara China dan ASEAN diharapkan mencatat USD 500 bilion pada tahun 2015. Harapan ini boleh menjadi kenyataan memandangkan perdagangan dua hala yang mencatat peningkatan 16.2% setiap tahun dalam tempoh 5 tahun yang lalu.
Gao Hucheng turut memaklumkan ASEAN terus mengekalkan lebihan perdagangan dengan China pada setengah tahun pertama tahun ini, iaitu melebihi USD 10 bilion. Beliau menegaskan China tidak menyasarkan lebihan dagangan dengan ASEAN, sebaliknya berharap lebih banyak barangan buatan ASEAN dibawa masuk untuk memenuhi pengguna domestik.