Kerajaan China menyumbang 17 set alat pengimbas keselamatan kepada Kemboja sebagai menyokong persediaan negara itu yang akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN 2012.
Timbalan Perdana Menteri Kemboja , Keat Chhon merakamkan penghargaan kepada Kerajaan China atas sokongan serta bantuan yang amat berharga itu. Menurutnya, China sudah banyak membantu bukan sahaja bersifat jangka panjang tetapi menepati keperluan Kemboja. Bantuan itu juga tanpa sebarang syarat untuk memelihara kedaulatan dan kemerdekaan bangsa selain mendorong pembangunan pesat sosioekonomi negara itu.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi dan Kewangan Kemboja menyatakan demikian di majlis penyerahan sumbangan peralatan keselamatan oleh China di Phnom Penh semalam.
Sementara itu, Duta Besar China ke negara itu, Pan Guangxue berkata, kesemua alat keselamatan itu merupakan buatan China. Sempena sidang kemuncak ASEAN, tiga set alat pengimbas kontena akan dipasang di pelabuhan berkenaan, tujuh set lagi untuk mengimbas keselamatan para peserta manakala selebihnya dipasang di dewan mesyuarat dan hotel berkenaan.
Alat itu untuk menjamin keselamatan semasa sidang kemuncak berlangsung.