Cari:
Rombakan Kabinet Indonesia untuk Tenangkan Masyarakat Awam
2011-10-20 14:56:52 CRI Cetak

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan rombakan kabinet pada 18 Oktober lalu yang menyaksikan beberapa menteri kerajaan pimpinannya ditukar. Menurut para penganalisis, tindakan Susilo itu bertujuan mengatasi masalah kadar sokongan rakyat yang semakin rendah, di samping meningkatkan prestasi Parti Demokrat supaya parti itu boleh memenangi pilihan raya presiden pada tahun 2014.

Sebagai entiti ekonomi yang paling besar di rantau Asia Tenggara, ekonomi Indonesia mengekalkan peningkatan pada kadar 6.5% purata setahun pada beberapa tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, masyarakat awam tidak berpuas hati kepada usaha kerajaan, sehingga indeks kepuasan hati menurun kepada 37.7% daripada 52.3% pada tahun lepas. Harga bahan makanan yang semakin meningkat, kecekapan kerajaan yang rendah dan skandal rasuah yang melibatkan beberapa menteri antara faktor utama yang menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Rombakan kabinet kali ini melibatkan 12 jawatan peringkat menteri, dan pelantikan 13 orang naib menteri yang baharu. Menurut Presiden Susilo, tindakan ini diharapkan dapat menerajui usaha perdagangan, membantu memastikan keselamatan sumber tenaga dan membaharui sistem birokrasi yang sedia ada.

Rombakan kabinet ini adalah buat pertama kali dilakukan oleh Presiden Susilo sejak beliau menyandang jawatan Presiden pada 2009. Menurut sarjana Indonesia, kabinet baharu akan memberikan tumpuan kepada usaha antirasuah untuk menenangkan hati rakyat.

Walau bagaimanapun, penambahan jawatan 13 naib menteri baharu menimbulkan perselisihan pendapat dalam kalangan masyarakat domestik, kerana ia dijangka meningkatkan beban belanjawan kerajaan pada masa akan datang. Namun, jurucakap Jabatan Presiden berkata, penambahan jawatan naib menteri amat diperlukan demi membantu tugasan menteri dan meningkatkan kecekapan agensi kerajaan.

Skandal rasuah yang melibatkan beberapa anggota kabinet antara faktor utama yang memberikan kesan negatif kepada kerajaan pimpinan Presiden Susilo. Oleh yang demikian, tinjauan umum berpendapat beberapa menteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah akan dilucutkan jawatan dalam rombakan kabinet kali ini. Namun, anggota kabinet tersebut didapati tetap mengekalkan jawatan mereka. Menurut seorang penyelidik politik dari Institut Sains Indonesia, ketika mengendalikan isu rasuah, Presiden Susilo tidak akan mengambil tindakan ke atas seseorang anggota kabinet sekiranya mereka tidak didapati bersalah oleh mahkamah. Tetapi, perkara ini akan menyebabkan komitmen kerajaan dalam antirasuah dicurigai oleh masyarakat awam. Tambahan pula, mungkin sudah terlalu lewat untuk mengenakan tindakan kepada pegawai selepas mereka didapati bersalah.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China