Ekspo China-ASEAN yang dianjurkan bersama oleh badan perdagangan kedua-dua pihak serta Sekretariat ASEAN menyediakan wadah baharu untuk memperluas kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan dan kebudayaan. Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung Sekretariat Ekspo China-ASEAN, Encik Zheng Junjian baru-baru ini. Beliau berkata, ekspo ini sudah tujuh kali diadakan dengan jayanya, dan dihadiri oleh 38 orang pemimpin dari China dan negara-negara ASEAN serta lebih 1,300 orang pegawai peringkat menteri sejak tahun 2004. Ekspo ini memberikan peluang kepada tokoh-tokoh politik dan ahli perniagaan untuk berinteraksi antara satu sama lain dalam rundingan dan dialog. Ekspo tersebut turut disertai oleh 265.4 ribu orang peniaga serantau, di samping menjayakan urus niaga yang melebihi USD 9.88 bilion dan projek pelaburan antarabangsa yang bernilai USD41.75 bilion.
Jumlah perdagangan China-ASEAN mencecah USD200 bilion pada tahun 2007. Angka ini dicapai tiga tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan sebelumnya. Semasa berlakunya krisis kewangan global, jumlah eksport negara ASEAN kepada pasaran negara maju seperti Kesatuan Eropah, AS dan Jepun menurun, sebaliknya eksport kepada China tetap mengekalkan trend meningkat. Dalam konteks ini, Ekspo China-ASEAN dianggap memainkan peranan yang penting dalam menstabilkan perdagangan China-ASEAN.
Selain menerajui perdagangan barangan dan aktiviti pelaburan, Ekspo China-ASEAN juga menyediakan wadah untuk merapatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan dan kebudayaan. Sebanyak 180 persidangan dan forum peringkat tinggi telah dianjurkan dalam rangka ekspo tersebut, bagi merancakkan interaksi antara pegawai kerajaan, usahawan dan sarjana antara kedua-dua pihak. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 penjalinan hubungan dialog China-ASEAN, dan juga ulang tahun pertama penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA). Sehubungan dengan itu, Ekspo China-ASEAN Ke-8 yang akan diadakan di Nanning, Guangxi China pada 21 hingga 26 Oktober nanti akan memberi fokus kepada tema utamanya iaitu menjayakan CAFTA dan berkongsi peluang kerjasama dan pembangunan.