Perdana Menteri China, Wen Jiabao bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak semasa perasmian Ekspo China-ASEAN Ke-8 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN Ke-8 di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China hari ini.
Wen Jiabao berkata, berikutan situasi antarabangsa dan serantau yang rumit sekarang, kerjasama erat antara China dengan Malaysia bukan sahaja bermanfaat bagi kedua-dua negara, tetapi juga amat penting bagi meningkatkan hubungan antara China dengan ASEAN dan kerjasama negara-negara Asia Timur. Kedua-dua negara ini perlu meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, kewangan, serta sains dan teknologi.
Dato' Seri Najib pula berkata, Malaysia akan berusaha bersama-sama dengan China supaya hubungan antara ASEAN dengan China dan kerjasama Asia Timur bertambah mantap.
Perdana Menteri kedua-dua negara turut hadir dalam upacara menandatangani perjanjian Taman Industri Qinzhou China-Malaysia.