Kerjasama kewangan antara China dengan negara-negara ASEAN kini menarik perhatian yang lebih besar berikutan hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin rapat antara kedua-dua pihak. Perkara ini juga menjadi topik hangat dalam Forum Kerjasama Kewangan China-ASEAN yang diadakan di Nanning, Guangxi China baru-baru ini. Menurut para peserta forum tersebut, kerjasama kewangan antara China dengan ASEAN kini semakin meluas sehingga meliputi beberapa bidang baharu termasuk urusan pinjaman kredit dan aktiviti pelaburan. Walau bagaimanapun, kerjasama kewangan kedua-dua pihak masih dalam peringkat awal, dan menghadapi cabaran akibat jurang perbezaan pembangunan pasaran kewangan di negara-negara serantau.
Lebih 30 institusi perbankan dari negara ASEAN telah beroperasi di China setakat ini. Sementara itu, institusi kewangan China juga telah membuka 11 buah badan perwakilannya di negara-negara ASEAN.
Tahap kerjasama kewangan China-ASEAN dianggap ketinggalan jika berbanding dengan peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang pesat. Hal ini berlaku kerana kerjasama kewangan hanya diberikan perhatian oleh kerajaan dan terdapatnya piawaian mekanisme kewangan yang berlainan antara negara-negara serantau.
Selain itu, kebanyakan aktiviti perdagangan antara China dengan ASEAN menggunakan dolar Amerika, dan bukannya mata wang serantau. Perkara ini bukan sahaja meningkatkan kos perniagaan, malah menambah risiko dalam proses pertukaran mata wang, khususnya apabila berlakunya pergolakan di pasaran kewangan antarabangsa.
Menurut pakar, kerjasama kewangan China-ASEAN kini perlu berfokus kepada usaha menstabilkan pasaran kewangan dan kerjasama mata wang. Ketika memberikan ulasan lanjut, ahli ekonomi kanan Bank Komunikasi China, Lian Ping berkata, kerjasama ini perlu melibatkan usaha-usaha termasuk memberi amaran awal risiko pasaran kewangan, merancakkan interaksi kewangan ke arah pembentukan pasaran kewangan serantau yang bersepadu, dan bersama-sama melaksanakan pendekatan untuk menstabilkan nilai mata wang serantau.
Penolong Gabenor Bank Rakyat China, Jin Qi menyatakan hasrat untuk memperluas penggunaan mata wang serantau dalam aktiviti perdagangan China-ASEAN, di samping menggalakkan urus niaga mata wang serantau oleh institusi perbankan kedua-dua pihak.