Cari:
China-Malaysia Tetapkan Piawaian Kualiti Sarang Burung Antarabangsa
2011-11-09 14:37:05 CRI Cetak

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang sedang mengadakan lawatan ke China berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu sarang burung walit dengan segera dan bekerjasama menetapkan piawaian yang bertaraf antarabangsa.

Menurut Liow Tiong Lai, lawatan beliau kali ini bertujuan memberikan maklumat tentang usaha menetapkan piawaian sarang burung walit dengan kerjasama kerajaan China. Kini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menetapkan piawaian terhadap kualiti sarang burung untuk dibentangkan kepada Suruhanjaya Undang-Undang Makanan Antarabangsa. Sekiranya diluluskan, piawaian akan menjadi piawaian sarang burung walit yang pertama di peringkat antarabangsa.

Malaysia merupakan negara pengeluar sarang burung walit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Industri sarang burung walit juga dianggap sebagai salah satu daripada 12 tunggak ekonomi utama oleh kerajaan Malaysia. Jumlah pengeluaran sarang burung Malaysia dianggarkan mencatat 60 tan setiap tahun, dengan nilainya RM 1 bilion. 90% daripadanya dieksport ke China.

Usaha eksport sarang burung walit Malaysia ke China terjejas teruk apabila sejumlah sarang burung didapati mengandungi nitrit yang berlebihan ketika diperiksa oleh pihak berkuasa China. Bahan nitrit dianggap memberi ancaman kepada kesihatan manusia dan boleh menyebabkan penyakit kanser.

Isu sarang burung bukan mudah untuk diselesaikan oleh kedua-dua pihak kerana tiada piawaian yang bersepadu terhadap kualiti produk tersebut. Menurut Liow Tiong Lai, nitrit dalam sarang burung itu tidak akan menjejaskan kesihatan pengguna kerana jumlahnya pada tahap yang minimum. Tambah beliau, nitrit itu wujud akibat unsur ammonia dalam najis burung walit yang mengalami pengoksidaan, dan bukannya bahan tambahan dalam proses pengeluarannya.

Beliau berharap piawaian boleh ditetapkan bersama-sama kedua-dua negara dengan serta merta bagi menyelesaikan isu sarang burung ini dengan segera. Untuk menetapkan piawaian berkenaan, pihaknya telah mengadakan ujian terhadap sarang burung bagi mengetahui jumlah nitrit dalam sarang burung, dan menilai sama ada jumlah nitrit ini akan memberi ancaman kepada kesihatan manusia.

Kini, kerajaan Malaysia telah membentuk sistem keselamatan terhadap proses pengeluaran sarang burung bagi memastikan kualiti produk terebut. Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia akan menjalankan pemeriksaan terhadap sarang burung dan memberikan sijil pengesahan jika memenuhi piawaian.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China