China mengambil sikap terbuka terhadap sebarang inisiatif kerjasama yang bermanfaat bagi integrasi ekonomi dan kemakmuran bersama rantau Asia Pasifik, termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik (TPP).
Demikian dinyatakan penolong Menteri Luar China, Liu Zhenmin dalam satu sidang media mengenai kehadiran Perdana Menteri Wen Jiabao pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) di Bali serta lawatannya ke Negara Brunei Darussalam.
Menurutnya, sungguhpun China masih belum menyertai rundingan perjanjian tersebut, namun akan terus memanfaatkan platform kerjasama yang sedia ada untuk menggarap kerjasama di rantau Asia Timur.
Beliau berharap pelbagai mekanisme kerjasama yang sedia ada di Asia Timur dapat saling melengkapi ke arah menyumbang kepada pembangunan serantau.
Beliau menambah, China mengalu-alukan penyertaan Rusia dan AS dalam EAS, dan berharap kedua-dua negara tersebut berperanan lebih besar bagi menggalakkan keamanan, kestabilan dan pembangunan rantau ini. Tegasnya, China bersedia memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan kedua-dua negara itu dalam kerangka EAS bagi menyumbang kepada kemajuan serantau.