AS membatalkan sebahagian sekatan terhadap Myanmar yang dikenakan atas "Akta Perlindungan Pemerdagangan Mangsa" sebelum ini.
Jabatan Negara AS dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, AS akan terus menyokong usaha pembaharuan Myanmar dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan negara itu. Sungguhpun begitu, Myanmar perlu berusaha lagi untuk mencapai kemajuan dalam perjuangan demokrasi dan hak asasi manusianya. Jika itu tercapai, lebih banyak lagi sekatan akan ditarik balik.
Kebanyakan tindakan sekatan AS terhadap Myanmar dikenakan berasaskan "Akta Kebebasan dan Demokrasi Myanmar" yang digunapakai pada tahun 2003. Akta itu melarang institusi domestiknya menyediakan pinjaman dan bantuan teknikal kepada Myanmar.
Mulai tahun ini, beberapa negara seperti Australia dan Norway menarik balik sekatan terhadap Myanmar. Mereka juga bertindak membatalkan sekatan kewangan dan perjalanan terhadap beberapa pegawai kerajaan Myanmar. Pada 23 Januari, Kesatuan Eropah(EU) juga bersetuju melonggarkan sebahagian sekatan terhadap negara itu dan membatalkan larangan visa kepada pegawai kanan negara itu. Namun EU akan mempertimbangkan pembatalan sekatan selanjutnya berdasarkan kemajuan pembaharuan Myanmar pada masa akan datang.
Menteri-menteri luar ASEAN dalam mesyuarat tidak rasmi di Kemboja pada bulan lepas juga menyarankan masyarakat antarabangsa menarik balik sekatan terhadap Myanmar.
Satu kenyataan mengenainya dijangka dikeluarkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 yang bakal diadakan di Kemboja pada bulan April nanti.
Myanmar kini sedang menimbang untuk menjemput pemerhati dari beberapa negara untuk meninjau pilihan raya kecil pada awal April ini.
Tindakan ini dianggap langkah penting ke arah memujuk negara Barat membatalkan tindakan sekatan. Pemimpin parti pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi kini layak bertanding dalam pilihan kecil itu setelah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya. 48 kerusi parlimen akan dipertandingkan dalam pilihan raya kecil itu.
Menurut penganalisis, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi tetap menjadi parti pembangkang walaupun menang kesemua 48 kerusi itu. NLD masih kumpulan minoriti dalam parlimen Myanmar dan tidak akan mengancam kedudukan pemerintah. Ini kerana majoriti daripada 440 kerusi di parlimen masih dikuasai oleh kerajaan Myanmar.
Sekatan negara Barat selama 20 tahun ke atas Myanmar merupakan faktor utama yang menjejaskan perkembangan ekonomi. Keadaan itu mewujudkan jurang perbezaan yang semakin besar antara golongan kaya dengan miskin di negara itu.
Para penganalisis berpendapat , samada negara Barat akan terus melonggarkan sekatan terhadap Myanmar atau tidak bergantung kepada dua faktor, iaitu pemulihan hak asasi manusia di Myanmar dan rundingan damai antara kerajaan dengan kumpulan bersenjata kaum minoriti.








