Rundingan damai antara kerajaan Myanmar dengan Tentera Kemerdekaan Kachin menghadapi jalan buntu malah konflik antara kedua-dua pihak dilaporkan semakin meruncing.
Seorang penduduk di Myitkyina, ibu kota Negeri Kachin memberitahu pemberita bahawa pertempuran telah berlaku kira-kira 80 kilometer dari bandar itu baru-baru ini. Menurutnya, walaupun konflik seumpama itu jarang tercetus sejak awal tahun ini, namun ketegangan antara kedua-dua pihak tetap mengancam kehidupan penduduk tempatan.
Menurut Ketua Editor Agensi Berita Kachin, konflik yang berlarutan bukan sahaja menjejaskan operasi di pintu sempadan Myanmar dengan China, malah kini kawasan sempadan dibanjiri dengan ramai pelarian yang menjejaskan keselamatan di kawasan itu.
Kerajaan baharu Myanmar tetap berusaha memulihkan rundingan damai dengan pasukan bersenjata kaum minoriti sejak bulan Mac lepas. Kerajaan Myanmar memberi keutamaan kepada usaha memulihkan kedamaian yang dianggap perkara paling mendesak pada masa ini. Presiden Myanmar, U Thein Sein mengisytiharkan gencatan senjata terhadap tentera Kachin pada Disember lalu. Namun, menurut pihak berkuasa Kachin, tentera kerajaan tidak bersunguh-sungguh untuk melakukan gencatan senjata. Sebaliknya serangan terhadap Kachin terus dilancarkan.
Kerajaan Myanmar sudah menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan pasukan tentera beberapa kaum minoriti pada akhir tahun lepas. Namun, kerajaan dan Tentera Kemerdekaan Kachin gagal mencapai kata sepakat walaupun sudah dua kali mengadakan rundingan pada bulan November dan Januari lepas. Media tempatan melaporkan rundingan akan diadakan lagi pada pertengahan bulan ini.
Seorang pemimpin Tentera Kemerdekaan Kachin baru-baru ini menyatakan kesediaannya untuk mengadakan "dialog politik" secara rasmi dengan kerajaan. Beliau berharap kerajaan boleh mengambil kira hasrat kaum Kachin dan bukannya menyasarkan "perjanjian gencatan senjata". Tokoh daripada beberapa pertubuhan masyarakat di Kachin dan Zen juga ragu-ragu terhadap tujuan gencatan senjata kerajaan hanya untuk memujuk negara Barat membatalkan sekatan ekonomi. Kerajaan didakwa tidak berhasrat memberi hak kesaksamaan dalam politik dan kuasa autonomi kepada kaum minoriti.
Menurut analisis, usaha menamatkan konflik dengan tentera Kachin antara cabaran hebat yang dihadapi U Thein Sein sejak menyandang jawatan presiden. Menurut ketua perunding kerajaan bahawa tempoh 3 tahun diperlukan bagi mewujudkan kedamaian dengan kaum minoriti Kachin.