Cari:
Rakyat Filipina Bantah Latihan Tentera dengan AS
2012-03-09 14:43:02 CRI Cetak
Filipina dan AS akan mengadakan latihan tentera bersama kali ke-28 di kawasan perairan barat Pulau Palawan pada 16 hingga 27 April nanti. Tindakan ini menyebabkan masyarakat awam Filipina mengadakan demonstrasi besar-besaran di depan pejabat Kedutaan Besar AS, serta mencetuskan konflik antara penunjuk perasaan dan pihak polis. Para penunjuk perasaan memegang sepanduk yang bertulis "AS undurkan tentera segera", dan membantah campur tangan ketenteraan yang lebih besar AS di rantau Asia Pasifik.

Menurut laporan akhbar Philippine Star, naib presiden sebuah persatuan perikanan negara itu baru-baru ini memberi amaran bahawa AS berniat menjadikan Pulau Palawan sebagai pangkalan tenteranya yang baharu.

Pertubuhan Wanita Filipina semalam turut mengambil bahagian dalam demonstrasi di depan pejabat Kedutaan Besar AS tersebut. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pertubuhan itu berkata, AS sedang bertindak meningkatkan kekuatan tenteranya di rantau Asia Pasifik, khususnya di Filipina. Kerajaan Filipina pula bersetuju dengan tindakan AS itu. Menurut kenyataan itu lagi, isu Laut China Selatan kini memberi risiko kepada keselamatan Asia Pasifik. Walau bagaimanapun, pertikaian wilayah perlu diselesaikan menerusi dialog antara pihak-pihak yang berkaitan. Campur tangan kuasa asing tidak membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Beberapa tunjuk perasaan berlaku di Filipina sejak awal tahun ini bagi membantah tindakan kerajaan meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan AS. Menurut penganalisis, ini kerana masyarakat awam Filipina tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan yang tunduk kepada AS, dan melahirkan kebimbangan bahawa Filipina dijadikan alat dalam strategi ketenteraan AS yang baharu. Di samping itu, rakyat Filipina berpendapat bahawa pembelian kapal perang yang terpakai dan menambah kelengkapan senjata dari AS akan memburukkan lagi ekonomi domestik. Pandangan umum turut berpendapat bahawa Filipina mungkin menjadi mangsa situasi yang serba salah dan berbahaya sekiranya negara itu akur kepada strategi AS yang bertujuan membendung kekuatan China.

Filipina sudah berjanji bahawa latihan tentera bersama AS itu tidak akan dijalankan di kawasan perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan. Namun, menurut kenyataan pegawai tentera Filipina sebelum ini, "pelantar cari gali minyak yang sebenarnya" di barat Pulau Palawan merupakan lokasi sebahagian latihan tentera berkenaan. Tentera AS akan memberikan panduan bagaimana melindungi pelantar minyak di kawasan perairan.

Selain itu, berbeza dengan latihan tentera bersama sebelum ini, buat pertama kali latihan ini disertai oleh wakil dari pelbagai negara lain. Ini termasuk 20 orang wakil dari negara ASEAN dan wakil-wakil dari Jepun, Australia dan Repbulik Korea.

  

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China