Singapura merupakan sebuah negara yang luasnya 700 kilometer persegi dengan jumlah penduduk tetap seramai 5.18 juta orang. Ekonominya berkembang pesat berdasarkan "dividen demografi"nya. Namun, negara itu kini memasuki fasa kemorosotan "dividen demografi". Sejak tahun 1990-an, Singapura telah terus meneroka kaedah dan mengubahsuai dasarnya untuk melanjutkan tempoh dividen demografinya. Ahli ekonomi kanan yang juga professor di Universiti Teknologi Nanyang, Tan Kong Yam ketika diwawancara oleh wartawan CRI menyatakan, pertumbuhan ekonomi di Singapura berkait rapat dengan dividen demografinya. Katanya,
"Dari hujung tahun 1970-an hingga awal tahun 1990-an, nisbah golongan muda di Singapura agak tinggi. Oleh itu, kerajaan dapat mengutip cukai yang banyak dan tidak terbeban untuk memberikan kebajikan sosial. Kos tenaga kerja yang rendah juga menarik banyak pelaburan asing. Oleh itu, Singapura mencapai kemajuan yang cemerlang dalam pelbagai bidang ketika itu."
Selepas awal tahun 1990-an, Singapura mula merasa tekanan ekoran populasinya yang semakin menua. Walaupun kerajaan telah mengambil beberapa tindakan, namun kesannya kurang memuaskan. Katanya,
"Pada mulanya, kerajaan mengambil tindakan untuk menggalakkan warga Singapura melahirkan anak. Namun, disebabkan peluang pendidikan dan pekerjaan bagi kaum wanita semakin tinggi, manakala kos untuk membesarkan anak semakin meningkat, Singapura, seperti negara-negara lain di Asia dan Eropah, gagal mencapai matlamat tersebut."
Selepas itu, Singapura berusaha untuk menyelesaikan masalah ini melalui imigrasi terpilih. Menurut Prof. Tan Kong Yam, jumlah penduduk di Singapura adalah rendah. Demi melanjutkan tempoh dividen demografinya, negara tersebut hanya perlu menerima tiga hingga empat puluh ribu imigran mahir. Katanya,
"Singapura bergantung kepada imigran mahir yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Mereka boleh menjadi penduduk tetap. Ini kaedah yang berkesan bagi menyelesaikan masalah populasi Singapura yang semakin menua."
Walau bagaimanapun, tiada satu keadah yang dapat betul-betul menyelesaikan masalah ini untuk selama-lamanya. Singapura perlu terus mengubahsuai dasarnya dalam usaha menyeimbangkan pembangunan sosioekonomi.