Cari:
Presiden China akan Lawat Kemboja
2012-03-28 15:16:18 CRI Cetak

Pada saat menjelang lawatan Presiden China, Hu Jintao ke Kemboja pada 30 Mac, Setiausaha Negara Kementerian Luar Kemboja, Kao Kim Hourn diwawancara wartawan CRI. Beliau menyatakan bahawa sebagai lembaran penting dalam sejarah Kemboja, lawatan itu dipercayai bukan sahaja akan memperkukuh kerjasama kedua-dua negara, bahkan persahabatan China-ASEAN. Beliau berkata,

"China dan Kemboja adalah rakan kongsi yang strategik. Lawatan kali ini merupakan lembaran penting dalam sejarah Kemboja dan akan mempererat hubungan kedua-dua negara. Tambahan lagi, lawatan ini menjadi lebih bermakna kerana bertepatan dengan persiapan Kemboja bagi Sidang Kemuncak ke-20 selaku pengerusi bergilir ASEAN."

Selain itu, lawatan tersebut juga dipercayai akan menggalakkan kerjasama persahabatan China-ASEAN.

"Lawatan kali ini juga menunjukkan China sentiasa menyokong ASEAN dalam menangani pelbagai urusan. Ia memperlihatkan keyakinan China terhadap kemampuan Kemboja menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN. Dokumen yang bakal ditandatangani dalam lawatan kali ini juga membuktikan perkembangan dalam hubungan bilateral. "

Kao Kim Hourn berpendapat, kerjasama China-ASEAN semakin meningkat kebelakangan ini.

"China dan ASEAN telah membentuk beberapa mekanisme kerjasama, antaranya 10+1, 10+3, Forum ASEAN, dan Sidang Kemuncak Asia Timur. Kedua-dua pihak mempunyai tahap kerjasama yang berbeza, dengan mengutamakan kerjasama ekonomi serta interaksi sosial dan budaya. Secara umumnya, hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak tersebut di setiap peringkat dipercayai masih mempunyai ruang untuk ditingkatkan."

Kao Kim Hourn berkata, sebagai pengerusi bergilir ASEAN pada tahun 2012, Kemboja berusaha mendorong kerjasama China-ASEAN.

"Sebagai pengerusi bergilir, Kemboja akan terus berusaha untuk memperdalam dan memperluas kerjasama strategik China-ASEAN, terutamanya dalam pertukaran lawatan pemimpin antara satu sama lain."

Selain itu, Kao Kim Hourn juga membantah liputan media Barat yang mengatakan bahawa bantuan yang dihulurkan China kepada Kemboja bertujuan mengawal politik dan ekonomi Kemboja.

"China banyak memberikan bantuan ekonomi kepada Kemboja, namun tidak pernah campur tangan dalam urusan politik domestik kami. China sentiasa membantu pembangunan Kemboja. Tambahan lagi, selain Kemboja, China juga menyediakan banyak bantuan kepada anggota ASEAN lain."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China