Cari:
Kemboja Berusaha Dorong Perkongsian China-ASEAN
2012-03-29 16:59:59 CRI Cetak

Pada saat menjelang lawatan Presiden China, Hu Jintao ke Kemboja pada 30 Mac hingga 2 April depan, Jurucakap kerajaan Kemboja, Khieu Kanharith diwawancara wartawan CRI. Beliau menyatakan bahawa lawatan itu sekali lagi membuktikan kesefahaman kedua-dua pihak dan sikap saling menghormati. Sebagai negara pengerusi bergilir ASEAN tahun ini, Kemboja akan berusaha mendorong perkongsian China-ASEAN. Beliau berkata,

"Kami berasa gembira dan mengalu-alukan lawatan pemimpin tertinggi negara sahabat. Ia sekali lagi mempamerkan kesefahaman dan sikap saling menghormati. Lawatan itu mencerminkan perhatian China kepada Kemboja, bahkan semua negara ASEAN."

Khieu Kanharith berkata, kedua-dua pihak akan menandatangani beberapa dokumen penting dalam tempoh lawatan tersebut. Ini bakal membawa prospek pembangunan yang amat cerah bagi kerjasama ekonomi dan perdagangan.

"Lawatan itu akan mempamerkan situasi politik yang mantap dan potensi pembangunan ekonomi yang tinggi kepada pelabur China dan pelabur asing. Kami berharap lebih banyak perjanjian kerjasama ditandatangani dalam tempoh lawatan Presiden Hu ini."

Sebagai pengerusi bergilir pada tahun ini, Kemboja akan berusaha mendorong perkongsian China-ASEAN dan bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawabnya selaku pengerusi.

"Ini kali kedua Kemboja menyandang jawatan pengerusi bergilir. Seperti yang telah saya katakan kepada Perdana Menteri, Hun Sen, Kemboja bersedia berusaha menjayakan tugasnya. Secara konkrit, Kemboja akan meningkatkan persefahaman antara ASEAN dengan China bagi mengurangkan kebimbangan mereka terhadap pelaburan China di luar negerinya dan peningkatan kekuatan tentera negara tersebut. Ini juga bagi mengelakkan hasutan konfrontasi daripada negara-negara tertentu di luar rantau ini berhubung isu Laut China Selatan. Pendirian Kemboja berhubung isu tersebut amat jelas. Pertama, isu Laut China Selatan patut diselesaikan secara damai. Kedua, Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkaitan dengan Laut China Selatan yang ditandatangani Menteri Luar ASEAN-China pada tahun 2002 perlu dipatuhi. Ini adalah langkah pertama bagi penyelesaian isu tersebut."

Khieu Kanharith menambah, China yang tidak sombong sebagai negara gergasi, sentiasa mengekalkan persahabatan dengan ASEAN dan negara lain di dunia. China juga sentiasa menitik beratkan pembangunan secara damai dan mengutamakan pembinaan dunia yang harmoni. Semangat China tersebut amat Kemboja hargai.

"Kami menghargai dasar China yang tidak campur tangan dalam urusan dan menghormati kedaulatan negara lain. Dasar hidup secara damai itu menyumbang kepada kestabilan Asia kini. Sebaliknya, terdapat negara tertentu yang giat menghasut konfrontasi antara negara lain dengan China. Kami sedar ini taktik yang sering digunakan apabila berlaku perselisihan politik. Kami percaya, kerjasama bilateral China-Kemboja bahkan China-ASEAN merupakan unsur penting yang memelihara keamanan Asia Tenggara."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China