Atas undangan Raja Kemboja, Norodom Sihamoni, Presiden China, Hu Jintao dijadualkan melawat Kemboja pada 30 Mac hingga 2 April depan. Duta Besar China ke Kemboja, Pan Guangxue menyatakan, lawatan tersebut bakal memperkukuh persahabatan rakyat kedua-dua negara, menggalakkan perkembangan kerjasama pragmatik antara kerajaan dan rakyat, membawa manfaat kepada satu sama lain, dan membuka lembaran baharu dalam hubungan bilateral.
Lawatan Hu Jintao ini diadakan 12 tahun setelah lawatan pemimpin tertinggi negara China sebelum ini. Dalam tempoh lawatan itu, kedua-dua pihak akan mengeluarkan Deklarasi Bersama, membuat rumusan terhadap hubungan dua hala dan menjelaskan arah aliran pembangunan hubungan China-Kemboja. Kedua-dua pihak juga akan menggariskan pelan tindakan pembangunan, memperkaya perkongsian strategik, dan terus mendorong peningkatan tahap hubungan bilateral. Beliau berkata,
"Lawatan kali ini amat bermakna bagi perancangan dan pembangunan hubungan politik China-Kemboja bahkan hubungan China-ASEAN."
Mengenai status hubungan bilateral, Pan Guangxue berkata, seawal tahun 2006, kedua-dua negara mengumumkan penubuhan kerjasama komprehensif dalam tempoh lawatan Perdana Menteri China, Wen Jiabao ke Kemboja. Setelah itu, kedua-dua pihak menubuhkan perkongsian strategik komprehensif dalam tempoh lawatan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen ke China pada tahun 2010. Beliau berkata,
"Kedua-dua negara mengumumkan penubuhan perkongsian strategik komprehensif pada Disember 2010, yang merupakan satu mercu tanda baharu dalam sejarah pertukaran bilateral. Selepas itu, perkongsian dan pertukaran kedua-dua negara dalam pelbagai bidang bertambah galak. Hubungan dua hala turut berkembang dengan mantap, sihat, cepat dan menyeluruh."
Menurut Duta Besar, tahun depan China dan Kemboja bakal menyambut ulang tahun ke-55 terjalinnya hubungan diplomatik. Kedua-dua pihak telah menetapkan 2013 sebagai "tahun persahabatan China-Kemboja".
Dalam tempoh lebih dua tahun bertugas sebagai Duta Besar, Pan Guangxue telah berkunjung ke 3/5 provinsi di negara tersebut bagi menyaksikan pembangunan sosioekonomi tempatan yang dipercayai berada dalam keadaan yang sihat. Bangunan tinggi yang dibina di bandar Phnom Penh kebelakangan ini mencerminkan trend positif dalam pembangunan ekonomi Kemboja.
"Kemboja amat berpotensi bagi syarikat China yang ingin melabur."








