
Perdana Menteri China, Wen Jiabao bersama-sama rakan sejawatnya, Dato' Seri Najib Tun Razak merasmikan pembinaan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia di wilayah Guangxi.

Di taman perindustrian tersebut, Wen Jiabao dan Dato' Seri Najib menerima sambutan meriah wakil belia pelbagai etnik minoriti di Guangxi dan kakitangan Syarikat Setia Berhad yang terlibat dalam pembinaan taman perindustrian ini. Kedua-dua pemimpin bersama-sama memutar anak kunci sebagai simbolik perasmian projek dan meletakkan batu asas pembinaan taman berkenaan.

Dato' Seri Najib berkata, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia bermula dari suatu impian hingga menjadi kenyataan dalam tempoh hanya setahun. Beliau mencipta satu istilah iaitu "kepantasan Qinzhou"bagi menggambarkan kepantasan projek ini direalisasikan.

Dato' Seri Najib juga mencadangkan kedua-dua negara menubuhkan taman perindustrian bersama di Malaysia untuk membuka peluang pelaburan kepada lebih banyak syarikat China. Cadangan tersebut mendapat reaksi positif PM Wen Jiabao.

PM Wen Jiabao dan Dato' Seri Najib yakin, penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia ini boleh membantu meningkatkan perdagangan bebas China-ASEAN, dan membuka era baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara.

Pagi tadi, Wen Jiabao dan Datuk Seri Najib telah mengadakan pertemuan dan bersama-sama menyaksikan upacara penandatanganan Memorandum Penubuhan Syarikat Usaha Sama Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia.









