Jurucakap Kedutaan Besar China ke Filipina, Zhang Hua semalam menyatakan bahawa dua buah kapal pengawal China telah berundur dari pulau Huanyan pada 22 April lalu. China tetap komited untuk meredakan ketegangan menerusi kaedah diplomatik. Walau bagaimanapun, Filipina ingin terus memperhebat perselisihan itu. Menteri Luarnya, Albert F. del Rosario semasa lawatannya ke Amerika Syarikat, mengkritik China sambil menggembar-gemburkan isu kebebasan berlayar di Laut China Selatan.
Media tempatan Filipina semalam menuduh bahawa China ingin meruncingkan situasi di Huanyan, dan masih terdapat 3 buah kapal pengawal perikanan China di tempat kejadian. Berhubung itu, Zhang Hua berkata, kapal pengawal perikanan 310 dan sebuah kapal pengawal maritim telah meninggalkan pulau tersebut, dan sekarang hanya terdapat sebuah kapal pengawal maritim di sana.
Menurut Zhang Hua, sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, China bersedia untuk menyelesaikan pertikaian melalui rundingan diplomatik. Pengunduran dua buah kapal China itu membuktikan China tidak ingin meruncingkan ketegangan, sebaliknya meredakan situasi.
Laman web ABS-CBN Filipina semalam memetik kenyataan Albert F. del Rosario yang menyebut, pertikaian di Laut China Selatan itu mencerminkan bahawa "China merupakan ancaman besar bagi beberapa negara. Mana-mana negara yang ingin mengekalkan kebebasan berlayar di kawasan barat Laut Filipina sepatutnya menaruh perhatian terhadap konfrontasi ini kerana mereka mungkin akan menjadi sasaran pertikaian dan menanggung akibatnya pada masa depan. Kita patut mengambil pendirian yang lebih keras."
Selain itu, media tempatan Filipina juga menyeru agar isu tersebut diantarabangsakan.
Kebelakangan ini, ulasan seumpama itu sering dilihat di beberapa media Filipina. Seorang warga media yang enggan mendedahkan identitinya berkata, perbuatan tersebut seperti "menjual jus". Selagi laris dijual, apa-apa bahan boleh dimasukkan. Beliau juga mengkritik kerajaan Benigno Aquino III yang menyebelahi Amerika Syarikat. Menurutnya, itulah punca hubungan Filipina-China semakin buruk, bahkan konfrontasi semasa.
Rosario kelmarin menyeru negara-negara lain agar membentangkan pendirian terhadap tindakan China dalam isu Laut China Selatan. Sehubungan dengan itu, jurucakap Kementerian Luar China, Liu Weimin mengecam kenyataan tersebut. Katanya, mendesak negara-negara lain memilih pendirian dalam isu kedaulatan ini hanya akan merumitkan dan membesarkan masalah, tindakan ini tidak membantu bagi penyelesaian situasi semasa.








