Ketegangan di pulau Huangyan, wilayah kedaulatan China masih belum reda sekarang ini. Namun Filipina terus menggembar-gemburkan isu tersebut tanpa mengira pendirian China yang ingin menyelesaikannya menerusi saluran diplomatik dan tindakan yang bersifat membina, malah telah menghantar dua buah kapal ke perairan berkenaan.
Berhubung dengan kenyataan Menteri Luar Filipina, Albert F del Rosario yang menyebut China sebagai ancaman besar baru-baru ini, jelas dilihat bahawa Filipina bertekad untuk mengekalkan kehangatan isu tersebut dengan tindakan provokasi, mengelirukan dunia luar dengan ilusi bahawa China dapat "menetapkan peraturan ke atas mana-mana negara". Filipina ingin menyekutukan negara lain dan ASEAN, supaya isu itu akhirnya diantarabangsakan.
Memandangkan Filipina berulang kali menyebut tentang "peraturan", kita perlu ingat bahawa Laut China Selatan bukan taman pengembaraan tanpa peraturan.
China dan negara-negara ASEAN telah menandatangani "Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkenaan di Laut China Selatan" pada November tahun 2002. Deklarasi tersebut telah menetapkan peraturan asas bagi segala urusan berkaitan Laut China Selatan. Ini termasuk menahan diri, mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh merumitkan dan memuncak perselisihan atau menjejaskan keamanan dan kestabilan, serta menangani pertikaiaan dengan cara yang membina. Sebagai pemeterai dokumen tersebut, Filipina jelas menyedari betapa pentingnya peraturan-peraturan tersebut.
Tuntutan Filipina terhadap kedaulatan pulau Huangyan yang dimiliki China adalah tidak berasas, dan dianggap sebagai punca situasi semasa bertambah meruncing. Kemelut kali ini ekoran gangguan Filipina terhadap nelayan China di perairan berkenaan. Ini fakta yang tidak dapat diragui lagi. Filipina mendakwa bahawa China menyusun peraturan secara unilateral, dan tindakan ini bertujuan untuk mengaburi kesalahannya sendiri yang melanggar peraturan yang sedia ada.
Tindakan tersebut sebenarnya bertujuan untuk menjejaskan persepakatan dan hasil kerjasama China-ASEAN, agar kehilangan peraturan-peraturan asas mengenai isu Laut China Selatan. Setelah itu, peraturan-peraturan baharu yang bersifat berat sebelah, tidak berprinsip dan moral dapat dikuatkuasakan.
Menjadikan Laut China Selatan "lautan keamanan, persahabatan dan kerjasama" bukan sahaja pendirian China, malah selaras dengan kepentingan bersama China dan negara-negara ASEAN. China bersedia untuk bersama-sama negara-negara ASEAN untuk melaksanakan "Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkenaan di Laut China Selatan" melalui dialog dan rundingan, serta menjalin hubungan saling mempercayai dan menyediakan suasana yang positif.








