Konfrontasi China-Filipina di pulau Huangyan ekoran gangguan kapal tentera Filipina terhadap kapal nelayan China telah berlanjutan selama belasan hari. Kedutaan Besar China ke Filipina mengesahkan bahawa dua buah kapal pengawal China telah pun berundur dari perairan berkenaan, dan kini hanya sebuah kapal pengawal maritim yang tinggal. Ini menunjukkan China memilih untuk mengambil cara yang tenang dan terkawal ketika menangani konfrontasi di laut kali ini. Sementara itu, Filipina terus menghantar kapal ke perairan itu dengan tujuan untuk meruncingkan lagi situasi. Jika ingin menyelesaikan pertikaian ini secara damai, Filipina sepatutnya menghentikan tindakan yang akan memperhebat percanggahan ini dan memberi sambutan positif terhadap sikap China.
Insiden kali ini dipicu Filipina. Belasan buah kapal nelayan China diganggu oleh kapal tentera Filipina ketika menangkap ikan di sekitar pulau Huangyan pada 10 April lalu. Kapal tentera Filipina yang menahan, malah cuba merampas kapal nelayan tersebut, berjaya dihalang oleh dua kapal pengawal maritim China. Setelah itu, konfrontasi tercetus antara kedua-dua pihak.
Sebenarnya, kedudukan China amat jelas. Pertama, baik dari segi undang-undang mahupun sejarah, China mempunyai kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan ke atas pulau Huangyan dan perairan sekitarnya; Dan kedua, China menekankan untuk berkomunikasi dan menyelesaikan kemelut ini secara diplomatik. Jurucakap Kementerian Luar China berulang kali menyeru pihak Filipina agar menghormati kedaulatan maritim China, mengelak daripada menimbulkan masalah baharu, dan memelihara keamanan dan kestabilan Laut China Selatan. Langkah China untuk menghantar kapal pengawal perikanan dan kapal pengawal maritim itu adalah langkah yang sah diambil bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan nelayan. China juga telah mengambil inisiatif untuk mengundurkan dua buah kapalnya pada 23 April lalu. Ini membuktikan China sedia berusaha untuk meredakan ketegangan dengan tenang dan terkawal.
Sebaliknya, Filipina menjadikan insiden ini sebagai titik permulaan bagi memperluas dan merumitkan situasi. Pertama, Filipina menghantar kapal bersenjata yang berupaya menyerang. Kedua, pegawai Filipina mendakwa bahawa pertikaian ini perlu dibahaskan dalam Tribunal Antarabangsa bagi Undang-undang Kelautan. Ketiga, Filipina berusaha untuk memaksa negara-negara ASEAN lain untuk menyatakan pendirian masing-masing berhubung pertikaian tersebut, malah menggembar-gemburkan "ancaman China bagi negara lain". Dan keempat, Filipina terus menghantar kapal setelah kapal China berundur. Semua ini menunjukkan bahawa tindakan Filipina yang tidak wajar dan rasionallah yang mengakibatkan peristiwa ini berlarutan.
China telah membantah keras tindakan Filipina dan menuntut agar pihak Filipina memulihkan keamanan di perairan berkenaan. Sementara itu, Menteri Pertahanan China, Liang Guanglie berkata bahawa kaedah diplomatik diutamakan ketika menangani isu tersebut. Tambah beliau, menurut keperluan diplomasi negara, kini masalah ini diuruskan oleh Kementerian Luar dan jabatan maritim. Sikap tentera China patut dipertimbangkan oleh Filipina.
Tenang dan mengawal diri merupakan strategi bijak yang mempamerkan keyakinan dan kemurahan hati China. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh ditafsirkan sebagai kelemahan dan ketidakupayaan, malah toleran terhadap pencerobohan. Filipina seharusnya memberi sambutan positif terhadap pendekatan China, bukan terus mengambil tindakan-tindakan yang provokatif, malah berniat mengaut keuntungan daripada konfrontasi ini.








