Akhbar Filipina, Manila Standard Today telah menerbitkan rencana seorang pelabur Filipina, Victor N. Arches II yang bertajuk "It Belongs to China" pada 28 April lalu. Beliau berpendapat bahawa pulau Huangyan dimiliki Chin dan Filipina tidak boleh mengubah hakikat itu. Ketika diwawancara baru-baru ini, Arches II berkata, "Saya tidak takut kepada kerajaan, kerana terdapat fakta yang menyokong pendirian saya. Saya hanya membentangkan fakta itu."
Rencana tersebut telah menjelaskan bahawa menurut rekod ekspedisi yang dijalankan kerajaan Dinasti Yuan China pada tahun 1279, pulau Huangyan telah ditanda ke dalam peta China pada zaman itu. Maka dapat disimpulkan bahawa Huangyan benar-benar milik China.
Berhubung tujuan menulis rencana sedemikian, Arches II berkata, beliau hanya ingin memaklumkan pembaca bahawa akhbar tempatan Filipina telah memutarbelitkan fakta dan menerbitkan kenyataan palsu.
Menurut Arches II, setelah bersara beliau mempunyai banyak hobi. Di samping mengumpul setem dan duit syiling, beliau juga berminat dalam bidang sejarah dan ilmu politik. Buku-buku yang dibacanya tidak terhad kepada isu-isu domestik di Filipina, tetapi juga negara-negara Asia yang lain, serta Amerika Utara, Amerika Selatan dan beberapa negara Eropah.
Beliau telah berulang kali berkunjung ke Beijing, Shanghai, Guangzhou, Xiamen dan Shenzhen. Kesemua anggota keluarganya suka akan China; katanya negara ini serta warganya memberi kesan yang mendalam kepada mereka. Walau bagaimanapun, beliau tidak terlibat dalam aktiviti perdagangan di negara ini.
Menurut pandangan Arches II, tuntutan kerajaan Filipina untuk menyerahkan isu pulau tersebut untuk dibicarakan oleh Tribunal Antarabangsa bagi Undang-Undang Lautan adalah tindakan yang tidak sah.
Tambah beliau, kini populariti presiden Filipina semakin menurun, maka kerajaan Benigno Aquino III cuba untuk mendapatkan semula sokongan tinggi dengan kaedah ini. Kalangan undang-undang Filipina, terutamanya parlimen menyokong Aquino III disebabkan kepentingan mereka sendiri.
Menurut Arches II, masalah itu tidak perlu diantarabangsakan. ASEAN kini masih terus neutral, manakala Amerika Syarikat pun tidak akan menyebelahi mana-mana pihak yang terbabit. Ini adalah satu tamparan besar kepada Aquino III.
Beliau mencadangkan bahawa untuk menyelesaikan masalah ini, kedua-dua pihak perlu duduk dan berunding seperti orang beradab.








