Menurut analisis terkini agensi antarabangsa yang berwibawa, walaupun kesulitan ekonomi sejumlah negara maju di Barat menyebabkan risiko pelaburan langsung global terus meningkat, namun pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan Asia serta perniagaan serantau yang aktif terus menarik pelaburan dari seluruh dunia. Asia Tenggara dijangka akan terus menjadi destinasi utama pelaburan langsung asing pada tahun 2012 hingga 2014.
Singapura menarik jumlah pelaburan asing yang terbesar di Asia Tenggara. Pertumbuhannya meningkat 31.6% pada tahun 2011 sehingga melebihi USD 64 bilion, iaitu 54.7% daripada pelaburan asing seluruh ASEAN. Pakar berkenaan berpendapat, kelebihan Singapura adalah kadar tarif yang rendah dan sistem perundangan yang sempurna. Selain itu, pertumbuhan pelaburan Singapura di luar negara juga kekal pada kadar yang tinggi, dengan jumlah mencecah USD 25.2 bilion pada tahun 2011, meningkat 19%.
Selain Singapura, Indonesia juga amat menonjol. Pelaburan langsung asing ke negara tersebut meningkat 37.3% dan mencatat USD 18.9 bilion pada tahun lalu, malah mencapai rekod tertinggi pada suku tahun kedua 2012 dengan jumlah USD 5.92 bilion setelah meningkat 30.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Sebahagian besar pelaburan itu adalah dalam sektor perlombongan dan kimia asas. Seiring dengan pemulihan ekonomi dan permulaan projek infrastruktur besar-besaran, Indonesia dijangka akan mencapai prestasi yang lebih cemerlang.
Dengan mengambil pengajaran daripada pengalaman pada tahun 2009, Malaysia mula membaiki suasana pelaburannya. Tindakan ini berjaya melonjakkan pelaburan asing pada tahun 2010 dan 2011 kepada USD 9.1 bilion dan USD 12 bilion masing-masing. Dengan ini, kadar pelaburan ke Malaysia berbanding seluruh ASEAN kembali ke tahap 10.3%. Sementara itu, pelaburan Malaysia di luar negara turut meningkat kepada USD 15.3 bilion pada tahun lepas, dan mencatat USD 5.5 bilion pada suku tahun pertama 2012, meningkat 51.3%.
Walaupun bencana banjir tahun lalu menyebabkan pelaburan langsung asing ke Thailand menurun 1.7%, namun pelaburan sebanyak USD 10 bilion tetap merupakan 8.2% daripada pelaburan langsung asing di seluruh ASEAN. Berdasarkan sejarah ekonomi dan model pembangunan yang fleksibel, Thailand dipercayai akan tetap menjadi salah satu pilihan pelabur asing di Asia Tenggara.
Seiring dengan pelaksanaan dasar ekonomi terbuka dan penambahbaikan suasana pelaburan, pencapaian Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja dalam menarik pelaburan langsung asing semakin menonjol.