Menteri Luar Singapura, Shanmugam Jayakumar dan Mantan Menteri Luar, George Yeo masing-masing berpandangan bahawa pertikaian antara China dengan beberapa negara ASEAN di perairan Laut China Selatan tidak boleh mendefinisikan hubungan China dengan seluruh ASEAN. Pertubuhan itu sepatutnya mengelak daripada konflik politik terutamanya yang melibatkan isu kedaulatan dengan negara gergasi seperti China dan A.S.
Akhbar "The Straits Times" Singapura pada 14 Ogos lalu memetik ucapan Shanmugam yang menyatakan bahawa memperhebat kerjasama China-ASEAN, terutama kerjasama perdagangan bilateral selaras dengan kepentingan kedua-dua pihak. Pertikaian berkenaan tidak boleh menjadi penentu dalam hubungan China-ASEAN kerana ia hanyalah sebahagian kecil dalam hubungan itu. China adalah rakan perdagangan terbesar ASEAN, manakala ASEAN merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar bagi China. Oleh itu, mengekalkan dan meningkatkan kerjasama adalah langkah yang akan membawa manfaat baik bagi ASEAN mahupun China.
Shanmugam menegaskan, tiada pihak yang patut dipersalahkan atas kegagalan Sidang Menteri Luar ASEAN pada Julai lalu untuk mencapai kenyataan bersama. Kegagalan itu berpunca daripada perselisihan pendapat di kalangan anggota pertubuhan tersebut. Walau bagaimanapun, kekurangan penyelarasan dalam Sidang di Phnom Penh itu tidak akan menghalang pencapaian matlamat integrasi rantau ASEAN menjelang tahun 2015.
Menurut laporan akhbar "The Nation" Thailand semalam, Mantan Menteri Luar Singapura, George Yeo menegaskan dalam Forum Kelab Perniagaan ASEAN di Kuala Lumpur bahawa tokoh perniagaan ASEAN sepatutnya bersatu padu dan mengoptimumkan kelebihan rantau tersebut dengan mengetepikan konflik politik berhubung kedaulatan yang melibatkan China dan A.S.
Menurut George Yeo, pemimpin ASEAN tidak sepatutnya mengelakkan kepentingan bersama terjejas akibat kepentingan sendiri. ASEAN akan dapat meningkatkan kuasa tawar-menawar dengan negara gergasi sekiranya anggotanya berganding bahu. Kata beliau,
"ASEAN memang mempunyai perselisihan pendapat, dan selagi anggotanya tidak bersatu padu, pertubuhan ini tidak dapat berunding dengan China, Jepun, dan A.S."
Menurut beliau, hubungan dengan ASEAN yang tidak tenteram bertentangan dengan kepentingan China. China telah berusaha keras untuk menandatangani perjanjian perdagangan dengan ASEAN selepas krisis kewangan Asia pada tahun 1997. Selain itu, tindakan memecahbelahkan ASEAN juga tidak selaras dengan kepentingan A.S., kerana ia hanya akan memberi jalan kepada China untuk mendominasi rantau ini.