
Ketua Pengarah DBP, Prof. Dr. Awang Sariyan diberi anugerah Profesor Kehormat oleh Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) dalam suatu majlis yang diadakan petang tadi.

Anugerah tersebut diberikan oleh BFSU sebagai tanda terima kasih kepada Prof. Dr. Awang atas sumbangan beliau kepada pendidikan bahasa Melayu di China dan uasahanya untuk merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara. Prof. Dr. Awang Sariyan pernah menjadi Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di BFSU pada tahun 2008 hingga 2011.

Pada pagi hari yang sama, Prof. Awang Sariyan melawat ke gerai pameran buku Malaysia dalam Pameran Buku Antarabangsa Beijing di Pusat Pameran Antarabangsa China. Ini merupakan kali ketiga Malaysia menyertai pameran tersebut.
Selepas menghadiri pameran buku antarabangsa berkenaan, Prof. Dr. Awang Sariyan bersama-sama Duta Besar Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin mengetuai delegasi Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di China untuk majlis menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 Malaysia.








