Baru-baru ini, rakyat Filipina berhimpun di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (A.S.) ke Filipina untuk membantah kedatangan kapal selam nuklear "Hawaii" ke Pelabuhan Subic. Kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara yang terus meningkat pada tahun ini, kelihatan tidak begitu diterima rakyat Filipina.
Ramai rakyat Filipina berhimpun di hadapan Kedutaan Besar A.S. di Manila kelmarin untuk membantah campur tangan A.S. dalam pertikaian Laut China Selatan yang mengakibatkan ketegangan hubungan China dengan Filipina. Mereka juga menuntut tentera A.S. diusir keluar dari negara mereka. Malah, mereka khusus berhimpun pada hari ulang tahun tragedi "11 September" untuk menarik perhatian yang lebih meluas.
Meskipun kerajaan dan rakyat Filipina amat terpengaruh budaya A.S., namun ini tidak bererti mereka akan membenarkan kehadiran tentera A.S. di negara mereka. Kaum nasionalis benar-benar mementingkan kedaulatan negara, dan menentang sebarang tindakan yang bakal mencabuli kedaulatan demi melindungi diri daripada dijadikan orang suruhan negara gergasi itu. Selain itu, penempatan pangkalan tentera A.S. di Filipina turut menimbulkan masalah keselamatan. Serangan keganasan yang kerap berlaku menyebabkan rakyat tempatan berasa meluat terhadap tentera A.S.. Antipati seumpama itu boleh dilihat rata-rata di negara atau wilayah lain yang juga mempunyai pangkalan tentera A.S..
Kedudukan yang strategik di Asia menjadikan Filipina penting bagi A.S.. Walau bagaimanapun, disebabkan halangan perundangan dan pertentangan domestik di Filipina, A.S. sukar untuk mengatur tentera dalam jumlah yang besar mahupun menyewa pangkalan ketenteraan di negara itu.








