Kerajaan Filipina kelmarin mengumumkan bahawa presidennya, Benigno Aquino III telah menandatangani perintah eksekutif untuk mengubah nama "Laut China Selatan" menjadi "Laut Filipina Barat". Pengumuman tersebut kebetulan dikeluarkan semasa ketegangan China dan Jepun berhubung gugusan pulau Diaoyu.
Sejak bulan Mac tahun lalu, kerajaan Filipina telah mengubah nama laut tersebut, bahkan media domestiknya turut menggunakan nama baharu itu selain nama "Laut China Selatan". Meskipun perintah eksekutif tersebut telah ditandatangani seminggu sebelum ini, Filipina memilih untuk mengumumkannya sekarang. Ini menampakkan niat negara itu untuk mencuri peluang ketika konflik wilayah China-Jepun semakin meruncing.
Pakar China, Song Zhongping berpendapat,
"Kenapa Filipina mengubah nama laut itu pada masa yang sensitif ini? Saya rasa, Filipina dan Jepun telah mencapai kata sepakat tertentu, iaitu saling membantu berhubung isu pertikaian dengan China. Pada hakikatnya, Jepun banyak memberikan sokongan kepada Filipina sejurus setelah tercetusnya insiden pulau Huangyan, termasuk janji untuk menghadiahkan 10 buah kapal peronda dan menghantar kapal perang berkenaan melawat ke Teluk Subic. Disebabkan Jepun telah menghulurkan bantuan kepada Filipina pada saat yang paling kritikal, Filipina ingin membalas jasa tersebut dengan meringankan tekanan dari China ketika isu pulau Diaoyu meruncing. Nampaknya Filipina sebuah negara yang oportunis. Ia tahu, ia tidak akan mendapat keuntungan jikalau berkonfrontasi dengan China secara bersendirian. Sebaliknya, kedudukannya akan lebih diperkukuh sekiranya ia menyebelahi negara-negara lain yang juga berkonflik dengan China. Kesimpulannya, Filipina memang sedang cuba mengambil kesempatan situasi semasa di samping menunjukkan sokongannya terhadap Jepun pada masa yang kritikal."
Selain itu, tindakan seumpama ini berkait rapat dengan sokongan daripada A.S.. Sejak awal tahun ini, kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara terus meningkat, jelas terbukti dengan pelbagai latihan bersama dan lawatan tentera laut A.S. ke Filipina. Walaupun kerjasama seumpama itu dilihat sebagai menjual lagak semata, dan bantuan yang dihulurkan A.S. adalah terhad, sikap keras Filipina tersebut dipercayai akan diteruskan atas sokongan A.S..








