Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China, Wu Bangguo mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Musa Aman petang semalam di Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.
Wu Bangguo berkata, kerjasama China dan Malaysia dalam pelbagai bidang telah mencapai hasil yang memuaskan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. China bersedia bersama-sama dengan Malaysia lebih mempertingkatkan rasa saling mempercayai dalam bidang politik dan kerjasama demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Katanya, negeri Sabah dan China memiliki lokasi geografi yang dekat dan banyak persamaan dalam kebudayaan masyarakat. Kedua-dua pihak diharap dapat menggunakan kelebihan masing-masing memudahkan pertukaran pekerja dua hala dan menjadikan kerjasama industri pelancongan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak.
Musa Aman menyatakan bahawa hubungan perdagangan antara Sabah dan China agak erat dewasa ini. Beliau percaya lawatan Wu kali ini pasti akan memperkasakan kerjasama dua hala dalam bidang pelaburan, pelancongan dan pertanian serta juga menggalakkan transformasi ekonomi Sabah.