Hubungan persahabatan antara Parti Komunis China (PKC) dengan UMNO terus berkembang sejak dijalinkan pada tahun 1974. Kedua-dua parti saling mempelajari dan saling membantu dalam isu parti dan berkongsi pengalaman dalam bidang tadbir urus negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansur berkata demikian ketika diwawancara oleh Radio Antarabangsa China (CRI) hari ini.
Datuk Seri Tengku Adnan berasa amat kagum terhadap pencapaian ekonomi China dalam tempoh 10 tahun yang lalu di bawah kepimpinan PKC. Beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap hubungan kedua-dua negara.
Katanya, "Saya yakin kepimpinan yang baharu juga bakal mengikut apa yang telah ditetapkan ataupun landasan yang telah disediakan oleh kepimpinan yang lama manakala persahabatan akan terus dipereratkan. Kita juga berharap apa yang diperlukan antara kedua-dua negara ini atau masalah-masalah yang dihadapi khususnya dalam dunia sekarang yang menghadapi pelbagai cabaran kita atasi bersama. Jadi, saya berharap kita saling membantu demi mencapai keamanan."
Tambahnya, China tidak perlu mengangkat senjata terhadap mana-mana pihak kerana kekukuhan ekonominya sudah menjadi satu kaedah yang mempengaruhi negara-negara lain. Beliau yakin sistem pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan China dapat memberi manfaat kepada negara-negara lain.