Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi Komprehensif China-ASEAN ditandatangani, dan juga ulang tahun ke-10 permulaan pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA). Berdasarkan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), CAFTA merupakan kawasan perdagangan bebas ketiga terbesar di dunia; manakala dari skala pasaran pula, CAFTA telah menjadi kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia. Oleh itu, CAFTA dianggap sebagai "kawasan perdagangan bebas yang paling meneraju di rantau Asia" dan perkembangannya mendorong pembangunan ekonomi benua berkenaan bahkan proses integrasi serantau.
Dalam proses pembangunan CAFTA, dasar-dasar seperti mengurangkan tarif perdagangan kargo memastikan pertumbuhan stabil import eksport antara ASEAN dengan China. Jumlah perdagangan bilateral mencatat USD 54.77 bilion pada tahun 2002, dan angka ini meningkat kepada USD 362.85 bilion pada tahun 2011, meningkat 5.6 kali ganda.
Selain itu, pembangunan infrastruktur turut meningkatkan kesalinghubungan dan pertukaran kakitangan bahkan aliran barangan, khususnya setelah jabatan pengangkutan kedua-dua pihak menyusun Rancangan Strategik Kerjasama Pengangkutan China-ASEAN. Setakat ini, lebuh raya dari Kunming ke Bangkok telah beroperasi, laluan kereta api Trans-Asia sedang giat dibangunkan, penerbangan antara bandar-bandar di ASEAN dan China semakin banyak dan kesalinghubungan di laut sedang dimulakan. Ini terbukti dengan peralihan sasaran syarikat penerbangan Air Asia ke bandar-bandar utama lain di China selain Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen, di samping menawarkan penerbangan langsung dari Wuhan ke Bangkok dan dari Nanning ke Kuala Lumpur.
Pelaburan bersama juga menggalakkan pembangunan ekonomi. Sehingga Jun lalu, jumlah pelaburan antara China dengan ASEAN mencecah USD 93 bilion.
Pada masa ini, syarikat China sedang melabur dalam projek pembinaan grid dan enam lagi projek hidroelektrik, selain menyuntik dana sebanyak USD 10 bilion ke dalam jaringan komunikasi optik fiber (FOCN) di Kemboja. Tambahan lagi, sebanyak 14 projek pelaburan China telah diluluskan di Myanmar yang melibatkan pelaburan bernilai USD 13.87 bilion, iaitu 45.23% daripada jumlah seluruh pelaburan asing di Myanmar.
Pelaburan dari negara ASEAN juga membantu memangkin pembaharuan dan pembangunan China. Taman Industri Suzhou yang dibina atas kerjasama China dan Singapura telah menjadi salah satu zon pembangunan yang paling pesat berkembang dan paling kompetitif di dunia. Dalam separuh pertama tahun ini, Singapura menyuntik dana USD 4.19 bilion ke China, menjadikannya pelaburan kedua terbesar ke China.
Ahli ekonomi kanan dari Bank Pembangunan Asia, Zhuang Juzhong berkata, pembangunan CAFTA bakal terus mendorong integrasi ekonomi serantau. Hal ini amat penting dalam keadaan pemulihan ekonomi dunia yang perlahan.








