Sidang Kemuncak Asia Timur ke-7 diadakan di Phnom Penh, Kemboja semalam. Pemimpin ASEAN dan 8 negara rakan dialog serta perwakilan Bank Pembangunan Asia dan Tabung Kewangan Antarabangsa telah berbincang mengenai kerjasama Asia Timur, kesalinghubungan dan masa depan mekanisme Sidang Kemuncak Asia Timur. Perdana Menteri China, Wen Jiabao berkata, masyarakat antarabangsa bimbang akan pemulihan ekonomi dunia yang perlahan dan penambahan unsur yang tidak stabil dan tidak menentu. Semua anggota sidang berkenaan seharusnya mengambil inisiatif terhadap keprihatinan bersama masyarakat antarabangsa dan memberi keyakinan dan harapan kepada dunia.
Konsep "Sidang Kemuncak Asia Timur"dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Mahathir Bin Mohamad pada tahun 2000 dan sidang pertamanya diadakan di Kuala Lumpur pada Disember 2005. Mekanisme tersebut berpegang pada prinsip terbuka, inklusif dan telus sejak ditubuhkan, dan menyumbang kepada usaha integrasi Asia Timur. Ia pada asalnya dianggotai 16 pertubuhan dan negara, termasuk ASEAN, China, Jepun, Republik Korea, India, Australia dan New Zealand. Pada tahun 2011, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) turut menganggotai mekanisme tersebut secara rasmi. Sidang kali ini merupakan yang pertama dihadiri presiden AS.
Meskipun keadaan negara-negara anggota berbeza-beza, pembangunan dan kerjasama sentiasa diberi keutamaan. Wen berkata, perselisihan pendapat antara negara-negara di Asia Pasifik memang tidak dapat dielakkan, namun ia dipercayai dapat diselesaikan menerusi dialog.
Berhubung pemulihan ekonomi global yang perlahan, Wen menyatakan, semua anggota Sidang Kemuncak Asia Timur sepatutnya menyusun langkah yang berkesan, memantapkan kewangan sendiri, membangkitkan ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan membaiki hidup rakyat. Semua usaha ini adalah sumbangan yang paling langsung dan berkesan kepada pembangunan serantau.
Salah satu tumpuan sidang kali ini ialah pemulaan Hubungan Rakan Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal membuka pasaran anggotanya antara satu sama lain dan melaksanakan integrasi ekonomi serantau. Menurut jadual, rundingan berkenaan akan dimulakan pada awal tahun 2013 dan pelaksanaannya pada akhir tahun 2015. Kini, kumpulan kerja bagi perdagangan kargo, perkhidmatan dan pelaburan telah mula beroperasi.
Majlis pemulaan RCEP turut diadakan semalam. Wen menyeru agar semua pihak terbabit menggunakan peluang baharu ini untuk mendorong proses integrasi serantau dengan mengamalkan dasar perdagangan bebas dan adil, mengekalkan keterbukaan pasaran dan menolak amalan perlindungan dalam pelbagai bentuk.








