

Pada 18 hingga 21 November lalu, Perdana Menteri China, Wen Jiabao menghadiri Sidang Pemimpin China-ASEAN (10+1) ke-15, Sidang Kemuncak Memperingati Ulang Tahun ke-15 Terjalinnya Hubungan Kerjasama ASEAN, China, Jepun, Republik Korea (10+3) dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-7 di Phnom Penh, Kemboja, serta mengadakan lawatan rasmi ke Kemboja dan Thailand. Menteri Luar China, Yang Jiechi yang mengiringi Wen sepanjang tempoh lawatan tersebut berkata, lawatan kali ini berjaya mendorong pencapaian kerjasama serantau dan perkembangan hubung bilateral China dengan negara terbabit, terutama Kemboja dan Thailand.
Menyentuh kerjasama China-ASEAN, Wen mengemukakan beberapa prinsip seperti berikut: mengekalkan persahabatan dengan negara jiran berdasarkan panduan saling menghormati dan saling mempercayai, meningkatkan dialog dalam bidang keselamatan dan strategi, mempertimbangkan keprihatinan satu sama lain untuk menyelesaikan perselisihan dan percanggahan pendapat, menangani krisis kewangan antarabangsa bersama-sama, menggalakkan pembangunan berterusan, bertaraf tinggi dan berkualiti. Wen juga mengemukakan usulan bagi memperhebat pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), meningkatkan kerjasama sains dan teknologi, mendorong kesalinghubungan dan mempererat pertukaran sosiobudaya.
Kini, kerjasama 10+3 berada pada fasa yang kritikal. Wen mencadangkan 10+3 mempertingkat kemampuan menangani krisis, mendorong proses integrasi serantau, mengadakan kerjasama kesalinghubungan secara menyeluruh dan menyediakan suasana sosiobudaya yang stabil, selamat dan ramah. Semua pihak terbabit bersepakat mempercepat pemindaan Multilateralisasi Inisiatif Chiang Mai, membangunkan pasaran bon Asia dan memulakan rundingan "Hubungan Rakan Ekonomi Komprehensif Serantau" (RCEP). Dalam tempoh sidang berkenaan, China, Jepun dan Republik Korea juga mengumumkan pemulaan rundingan tentang penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur yang turut dilihat sebagai satu kemajuan dalam usaha tersebut.
Sidang Kemuncak Asia Timur selalu dianggap sebagai platform penting bagi kerjasama serantau. Dalam sidang tersebut, Wen menyeru semua pihak terbabit membereskan hal ehwal domestik masing-masing, meningkatkan perpaduan, menyediakan suasana berdialog, berbincang dan menang-menang, dan menyusun langkah yang lebih berkesan bagi menghadapi krisis kewangan antarabangsa.
Wen juga menjelaskan pendirian China berhubung situasi serantau dan isu Laut China Selatan. China bersedia melaksanakan "Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan" dan memelihara keamanan dan pembangunan serantau.
Yang Jiechi berkata, pendirian dan cadangan China difahami dan dihormati secara meluas. ASEAN menyatakan bahawa isu Laut China Selatan tidak sepatutnya diantarabangsakan dan bersedia mengekalkan komunikasi dan rundingan dengan China.
Dalam tempoh empat hari itu, Wen juga bertemua dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yodhoyono dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka bersetuju untuk memperhebat perancangan, memperluas skala perdagangan dan pelaburan dua hala serta memperkukuh kerjasama pembangunan infrastruktur.
Selain itu, Wen juga melawat Kemboja dan Thailand yang masing-masing merupakan pengerusi bergilir ASEAN dan penyelaras hubungan China-ASEAN.








